KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan dana zakat berjumlah RM314,879,762.44 kepada golongan asnaf, setakat 21 April lepas.
Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata agihan itu, menerusi pelbagai inisiatif dan kluster bantuan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Ia merangkumi antaranya kluster bantuan kebajikan, kluster bantuan pendidikan dan Wakalah.
Terdahulu, 600 asnaf termasuk kanak-kanak diraikan dalam majlis Jalinan Aidilfitri Bersama Asnaf anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.
Hadir bagi meraikan majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Mohd Na'im dalam ucapannya berkata keupayaan MAIWP melaksanakan bantuan berskala besar seperti itu, hasil sokongan berterusan masyarakat Islam yang menunaikan zakat melalui MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP).
“la membuktikan bahawa ekosistem zakat yang telus dan efisien, mampu menjadi pemacu utama kepada keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat di bandar raya,” katanya.
Pada majlis itu, MAIWP menyampaikan sumbangan khas RM200 berserta cenderahati bernilai RM120 kepada 400 orang asnaf.
Seramai 200 kanak-kanak menerima duit raya sebanyak RM50 seorang, yang melibatkan dana zakat berjumlah RM138,000.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial