Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 26 April (Bernama) -- Malaysia dan Kemboja bersetuju untuk meningkatkan kerjasama kehakiman dua hala, memperkukuh pembangunan kapasiti serta memudah cara pertukaran amalan terbaik.
Komitmen itu ditekankan lagi semasa kunjungan hormat oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ke atas Presiden Mahkamah Agung Kemboja merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Kemboja Persatuan Undang-undang ASEAN (ALA) Chiv Keng, di Phnom Penh.
Tengku Maimun, yang juga Presiden ALA, mengetuai delegasi Malaysia ke Kemboja dari 24 hingga 26 April.
Lawatan itu bertujuan memupuk kerjasama kehakiman, menggalakkan kefahaman undang-undang serta mempererat hubungan institusi antara negara anggota ASEAN, menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Jumaat.
"Antara fokus utama perbincangan adalah mengenai pendigitalan kehakiman. Badan Kehakiman Kemboja menyatakan minat untuk menghantar hakim dan pegawai teknikal ke Malaysia bagi mempelajari inisiatif transformasi digital dalam badan kehakiman Malaysia.
"Ketua Hakim Negara mengalu-alukan inisiatif itu dan mencadangkan supaya lawatan berkenaan diselaraskan melalui Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan," menurut kenyataan itu.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua Ketua Hakim turut bertukar pandangan mengenai struktur, bidang kuasa dan cabaran yang dihadapi dalam sistem kehakiman masing-masing.
Tumpuan turut diberikan kepada kepentingan ketelusan kehakiman, melindungi keselamatan negara dan memelihara keyakinan awam terhadap institusi mahkamah.
Kedua-dua pihak juga membincangkan Mesyuarat Majlis Pentadbiran ALA (GCM) 2025 yang dijadualkan berlangsung di Singapura, selain berkongsi pandangan mengenai cabaran yang dihadapi negara anggota dalam penganjuran mesyuarat berkenaan.
Dalam mesyuarat itu, ALA Kemboja menyatakan sokongan penuh terhadap GCM dan kesediaan untuk mempertimbangkan penganjuran mesyuarat pada masa hadapan, berkemungkinan pada 2027.
"ALA Kemboja turut menyatakan sokongan terhadap cadangan Presiden ALA bagi penubuhan Jawatankuasa Tetap Akses Saksama kepada Keadilan dan Perkhidmatan Bantuan Guaman Pro Bono," kata kenyataan itu.
Kunjungan hormat itu diakhiri dengan penegasan bersama terhadap misi ALA untuk memperkukuh kedaulatan undang-undang dan akses kepada keadilan di seluruh rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial