KUALA LUMPUR, 26 April 26 (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio melahirkan rasa bangga dan berpuas hati dengan komitmen pemainnya selepas menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.
Bidoglio berkata pemain JDT telah menunjukkan keperibadian mengagumkan ketika mengharungi musim yang panjang dan mencabar bagi skuad Harimau Selatan.
"Mereka adalah pemain yang hebat. Saya sangat gembira dengan kesemua pemain. Kami mengharungi musim yang sukar dan panjang, bekerja keras sehingga kini dan para pemain sentiasa turun padang dengan personaliti yang mengagumkan. Saya bangga dan gembira kerana mereka telah beraksi dengan baik," kata jurulatih Argentina itu pada sidang media selepas perlawanan di sini.
Pada perlawanan akhir malam ini, yang menyaksikan jumlah pemain kedua-dua pasukan berkurangan kepada 10 orang selepas pengadil Razlan Joffri Ali melayangkan dua kad merah, Sri Pahang yang dibimbing oleh Fandi Ahmad telah mengejutkan JDT dengan mendahului menerusi jaringan T. Saravanan pada minit ke-14.
Bagaimanapun, bersandarkan pengalaman mereka, JDT berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang prolifik Bergson Da Silva pada minit ke-54 sebelum bintang sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi meledak gol kemenangan Harimau Selatan pada minit ke-74.
Kemenangan itu melengkapkan sejarah ‘triple treble’ JDT, menjadikan mereka satu-satunya pasukan yang melakar kejayaan tersebut selepas Kedah mencipat ‘double treble’ pada 2007 dan 2008.
Dalam pada itu, ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dalam 90 minit perlawanan walaupun akhirnya terpaksa akur dengan keputusan bergelar naib juara.
Menurut beliau, skuad Tok Gajah berkeyakinan untuk melakukan kejutan ketika bertemu gergasi Liga Super itu selepas mendahului 1-0 namun kehilangan pemain yang dilayangkan kad merah pada babak pertama permainan menggugat hasrat tersebut.
"Kami hanya minta mereka untuk fokus meskipun kehilangan seorang pemain. Mereka telah melipatgandakan usaha namun keadaan bertambah buruk pada babak kedua perlawanan.
"JDT memiliki kualiti secara keseluruhan namun seperti yang saya tegas sebelum ini, menang atau kalah bukanlah segala-galanya bagi kami kerana kami berjaya menunjukkan keperibadian dan kesungguhan kami dalam perlawanan ini," kata bekas pemain Pahang dan skuad kebangsaan Singapura itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial