WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEUPAYAAN WARGA PERTAHANAN PERLU SEIRING TEKNOLOGI SEMASA – KHALED

28/04/2025 01:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Kementerian Pertahanan perlu merancang dan membuat pelaburan sewajarnya bagi memastikan keupayaan serta kebolehan warga kerjanya seiring dengan kemajuan teknologi semasa.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata teknologi canggih semata-mata tidak memadai tanpa disokong tenaga kerja yang mahir dan berdedikasi.

Beliau berkata dalam era yang semakin pesat dengan teknologi disruptif, kecekapan perkhidmatan amat bergantung kepada keupayaan menggunakan teknologi dan sistem digital yang efisien.

“Pemodenan menyeluruh terhadap sistem perkhidmatan bukan lagi satu pilihan, tetapi sudah menjadi keperluan mendesak demi penyampaian perkhidmatan yang lebih tangkas, mapan dan berdaya saing.

“Penggunaan automasi, kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), big data dan integrasi sistem akan dapat mengurangkan beban tugas manual dan pembaziran sumber,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.

Mohamed Khaled berkata menerusi teknologi dan pendigitalan, Kementerian Pertahanan bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan, malah lebih bersedia menghadapi pelbagai tuntutan serta kedinamikan perkhidmatan awam yang semakin mencabar.

Pada majlis itu 304 warga awam Kementerian Pertahanan dan 45 anggota serta pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diraikan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024.

Turut diraikan 49 warga kementerian itu yang bersara wajib dan pilihan tahun lepas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan