PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Kluster Penyakit Seperti Influenza (ILI) telah dikesan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam kalangan pelajar institusi pendidikan di daerah Kuala Muda, Kedah pada 23 April lepas membabitkan 28 kes daripada 158 pelajar yang terdedah dengan kadar serangan 17.7 peratus.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan enam daripada 28 kes itu telah disahkan positif Influenza A dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani sebelum dibenarkan pulang manakala 22 pelajar yang bergejala ILI pula menerima rawatan sebagai pesakit luar.
"Tindakan kawalan dan pencegahan oleh PKD dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah dilaksanakan termasuk siasatan persekitaran, penilaian risiko di kawasan kem, pengesanan kes secara aktif di institusi pendidikan berkenaan, rawatan serta pengasingan untuk kes bergejala dan pemantauan kes ILI di daerah Kuala Muda," menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan PKD Kuala Muda pada 23 April lepas juga telah menerima notifikasi kejadian seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun dari institusi pendidikan yang sama mengalami gejala demam dan sakit badan terutama pinggul kanan pada 18 April lepas setelah menghadiri program Kem Jati Diri selama dua hari di sebuah pusat rekreasi di daerah Yan.
Sementara itu, seorang kakitangan institusi pendidikan yang sama turut mengalami gejala demam, kelesuan, batuk dan sakit badan sejak 17 April lepas.
"Kedua-dua kes ini telah dimasukkan ke wad di Hospital Sultan Abdul Halim dan berada dalam keadaan stabil.
“Ujian yang telah dijalankan menunjukkan kedua-dua kes adalah negatif bagi jangkitan virus Influenza. Punca jangkitan untuk kedua-dua kes masih dalam siasatan," katanya.
KKM menasihati orang ramai agar mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan, mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin serta memakai pelitup muka terutama bagi individu berisiko tinggi.
Orang ramai diminta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan.
Pada 26 April lepas, seramai 39 individu merangkumi pelajar tingkatan dua dan kakitangan sebuah sekolah menengah di daerah Kuala Muda mendakwa mengalami demam, batuk dan ruam pada badan setelah menjalani latihan di sebuah kem di Yan.
Difahamkan, kira-kira 100 pelajar yang menghadiri aktiviti di sebuah kem di Yan bermula Khamis hingga Sabtu lepas mengalami simptom penyakit berjangkit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial