WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIMBALAN MENTERI LUAR AKAN LAKUKAN LAWATAN KERJA KE VIETNAM BERMULA SELASA

28/04/2025 08:59 PM

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin akan melakukan lawatan kerja ke Vietnam dari 29 April hingga 1 Mei untuk mewakili Malaysia pada sambutan Ulang Tahun Ke-50 Pembebasan Vietnam Selatan dan Penyatuan Negara.

Sambutan kebangsaan yang akan diadakan di Ho Chi Minh City itu menandakan lima dekad sejak penyatuan Vietnam Utara dan Selatan pada 1975 - satu peristiwa bersejarah yang meletakkan asas bagi pembangunan dan kestabilan Vietnam moden, menurut Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Lawatan kerja ini menegaskan hubungan persahabatan dan kerjasama yang terjalin lama antara Malaysia dan Vietnam serta sebagai pengesahan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuhkan Perkongsian Strategik Komprehensif, serta bekerjasama lebih lanjut dalam rangka ASEAN dan forum multilateral lain,” kata kenyataan itu.

Dalam rangka lawatan itu, Mohamad dijadualkan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Nguyen Manh Cuong dan anggota kanan Parti Komunis Vietnam.

“Mesyuarat akan memfokuskan kepada meningkatkan hubungan dua hala, meneroka bidang kerjasama baharu termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan pertukaran budaya, serta mengesahkan komitmen bersama kedua-dua negara terhadap keamanan dan kemakmuran serantau,” menurut kementerian itu.

Mohamad juga dijangka mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan di Ho Chi Minh City.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan