WASHINGTON, 30 April (Bernama-dpa) -- Pengeluar kereta di Amerika Syarikat bakal menerima pelepasan daripada tarif ke atas komponen kenderaan, menurut seorang pegawai kanan Jabatan Perdagangan pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Kami hanya mahu membantu mereka dalam tempoh peralihan ini. Pada dasarnya mereka membayar 25 peratus,” kata Presiden AS Donald Trump.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt sebelum itu memaklumkan bahawa Trump akan menandatangani dekri berkaitan tarif kereta dalam masa terdekat, ekoran aduan daripada pihak industri.
Langkah pengecualian itu bertujuan mengurangkan beban cukai ke atas komponen import yang digunakan untuk pemasangan kenderaan di AS, menurut laporan.
Pegawai Jabatan Perdagangan mengesahkan bahawa tarif tambahan ke atas aluminium dan keluli tidak akan dikenakan terhadap alat ganti kereta bagi mengelakkan beban berganda.
Peraturan itu juga akan terpakai kepada pengeluar kereta asing yang beroperasi di AS, termasuk BMW yang mempunyai kilang di South Carolina dan Mercedes di Alabama.
Kilang pengeluar Jerman di AS bergantung kepada import dari negara ketiga.
Syarikat Jerman juga mengeksport sejumlah besar alat ganti ke AS, sama ada untuk pembuat kereta tempatan atau untuk kilang milik mereka di negara itu.
Menurut Jabatan Perdagangan, satu fasa peralihan dirancang bagi pelaksanaan tarif 25 peratus ke atas komponen.
Pengeluar akan menerima bayaran balik sehingga 3.75 peratus daripada nilai kenderaan yang dibina di AS pada tahun pertama, yang akan dikurangkan kepada 2.5 peratus pada tahun kedua, dan bermula tahun ketiga, tarif itu akan dimansuhkan sepenuhnya.
Trump sebelum ini mengumumkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas kereta dan alat ganti import.
Cukai ke atas kenderaan mula berkuat kuasa pada awal April, manakala cukai ke atas alat ganti akan bermula 3 Mei ini.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dalam sidang media di Rumah Putih berkata langkah itu akan memberi lonjakan besar kepada pengeluaran kereta di negara itu.
Langkah itu diambil selepas industri memberi amaran tentang kemungkinan kesan buruk serta peningkatan harga secara drastik sekiranya tiada tindakan diambil.
Penyelidik pasaran menganggarkan bahawa kira-kira separuh daripada kenderaan yang dijual di AS dipasang di luar negara.
Malah, pengeluar kereta AS sendiri menghasilkan banyak kenderaan di luar negara, khususnya di Mexico.
Beberapa anggaran menyatakan hanya 40 hingga 50 peratus daripada kenderaan yang dibina di AS sebenarnya dipasang di dalam negara.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial