WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROJEK PEMBANGUNAN DILULUSKAN BAGI SUKU TAHUN PERTAMA N. SEMBILAN LEBIH RM27 JUTA

30/04/2025 01:21 PM

SEREMBAN, 30 April (Bernama) -- Status semasa projek pembangunan (perbelanjaan) diluluskan pada suku tahun pertama ini sebanyak RM27,043,020.12 bagi tempoh Januari hingga Mac daripada kelulusan peruntukan berjumlah RM135 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata prestasi perbelanjaan 3 Vot tertinggi yang dicatatkan ialah Vot P50 (Menteri Besar) dengan peratus perbelanjaan sebanyak RM22,109,690 dengan 49.13 peratus.

“Ini diikuti Vot P63 (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam) RM1,311,850.17 dengan peratus perbelanjaan sebanyak 21.16 peratus dan Vot P54 (JPS) RM1,316,469.25 dengan peratus perbelanjaan sebanyak 12.36 peratus,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Aminuddin (PH-Sikamat) menjawab soalan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) diwakili Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) yang ingin mengetahui status semasa projek pembangunan diluluskan bagi suku tahun pertama kewangan tahun ini.  

Beliau berkata jumlah projek yang dicatatkan sehingga suku tahun pertama berdasarkan Vot Pembangunan adalah sebanyak 361 projek.

“Status fizikal projek tersebut ialah 31 projek dalam kategori belum mula, 177 projek dalam prapelaksanaan, 143 projek dalam pelaksanaan dan 10 projek siap,’ katanya.

Menjawab soalan P.Gunasekaren (PH-Seremban Jaya) mengenai status hutang antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, Aminuddin berkata sepertimana negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak, Negeri Sembilan juga tidak terkecuali mempunyai hutang dengan kerajaan Persekutuan. 

“Namun begitu, sejak 2016, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang pinjaman atau hutang baharu dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata setiap tahun kerajaan negeri tanpa gagal berusaha melunaskan hutang ini mengikut kemampuan atau kedudukan kewangan kerajaan negeri dan jumlah baki semasa pinjaman sebanyak RM937,788,903.29 sehingga 31 Dis 2024.

“Peruntukan bayaran hutang telah dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta pada tahun ini di bawah vot tanggungan T04 – Bayaran Hutang Kerajaan.

“Bayaran sebanyak RM3 juta tersebut juga telah dibuat pada 27 Februari lepas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan