WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FMM GESA PELUASAN SKOP SST TERUS DITANGGUH, MAHU ISU UTAMA DITANGANI

30/04/2025 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini menggesa kerajaan untuk terus menangguhkan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melangkaui tarikh baharu pada 1 Jun, 2025, berikutan impaknya terhadap perniagaan serta pengguna.

Perubahan cukai itu yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Mei, 2025, telah ditangguhkan oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membolehkan libat urus lebih lanjut dengan pihak berkepentingan.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan JKDM serta penggiat industri, jelas membuktikan keperluan perkara itu diteliti secara mendalam sebelum dilaksanakan.

“Keadaan sekarang tidak kondusif bagi melaksanakan langkah itu berikutan tekanan luaran yang sedang dialami oleh pengilang, termasuk pelaksanaan tarif timbal balas Amerika Syarikat selain semakan semula tarif asas tenaga pada Julai 2025.

“Langkah peluasan liputan SST tanpa perlindungan sewajarnya akan hanya meningkatkan kos menjalankan perniagaan, menjejaskan daya saing industri Malaysia dan meningkatkan beban kewangan pengguna melalui harga runcit yang lebih tinggi," katanya.

Pada masa sama, Soh menegaskan peluasan SST tidak boleh diteruskan selagi isu-isu utama tidak ditangani, termasuk penilaian impak komprehensif terhadap inflasi, daya saing perniagaan dan kuasa beli pengguna.

Sehubungan itu, beliau meminta kajian semula ke atas cukai berkaitan barangan keperluan dan bahan mentah industri, pengecualian input untuk pengeluar yang dipermudahkan, tempoh penangguhan selama 12 bulan dengan sokongan pendidikan bagi perniagaan yang baharu dikenakan cukai serta pengecualian perkhidmatan bercukai kepada pengeluar berlesen bagi mengelak cukai berganda.

“Sekiranya kebimbangan ini tidak ditangani secara memuaskan, FMM menggesa peluasan SST ditangguhkan selepas 1 Jun 2025, sehingga semakan menyeluruh selesai untuk mengelak daripada menjejaskan sektor pembuatan, menghakis kuasa beli pengguna, dan menjejaskan pemulihan ekonomi Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan