KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) — Malaysia sedang meninjau peluang di pasaran pesat membangun, termasuk China dalam mengembangkan industri halal pada tahun ini.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Malaysia telah menggariskan beberapa strategi, malah sedang meneliti semula semua rakan dagang yang menyumbang kepada lebihan perdagangan negara ini bagi menyokong pembangunan sektor halal.
“Kita meneliti (negara) yang menyumbang kepada lebihan perdagangan ini, terutama di kedudukan paling bawah...bagaimana kita dapat mengatasinya menerusi misi mengekalkan dan meraih semula.
“Ada kedudukan tertentu yang kita mahu kekalkan dan ada yang kita mahu dapatkan semula. Ini semua dilakukan secara dalaman,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-21 yang bertemakan ‘Pinnacle of Halal Excellence’ (Mercu Keunggulan Halal) di sini, hari ini.
Reezal berkata atas alasan itu, Malaysia akan mengadakan MIHAS di Shanghai, China pada 5-10 Nov, 2025 yang menjadi penglibatan strategik dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) yang juga antara pameran perdagangan utama di Asia.
“Inilah sebabnya kita akan ke China. CIIE adalah ekspo berorientasikan eksport dan (berbanding) banyak pameran dunia lain, ia membenarkan MIHAS untuk turut terlibat.
“Mereka mahu memanfaatkan MIHAS dan begitu juga MIHAS dengan CIIE, cuma bezanya MIHAS menarik sekitar 40,000 pengunjung perdagangan manakala CIIE sebanyak 400,000 pengunjung.
“Oleh itu, bayangkan peluang besar kepada peserta MIHAS di Shanghai nanti,” katanya.
Reezal juga menekankan kepentingan industri halal yang berpotensi besar serta seiringan dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang menganggarkan nilai pasaran halal global pada US$5 trilion (US$1=RM4.31).
“Sejajar dengan jumlah penduduk Islam kini meningkat dan mencecah hampir dua bilion orang, (sudah pasti) wujud kesedaran yang ketara.
“Malah, apabila bertemu rakan sejawat dari China, saya katakan halal ini bukan berkait rapat dengan Islam sahaja, tetapi juga aspek kebersihan, keselamatan, keaslian dan juga kemampanan.
“Banyak negara yang mahukan barangan dengan sijil halal kerana dijamin (berkualiti) tinggi dan mempunyai piawaan yang ketat,” katanya.
Selain itu, Reezal berkata pasaran halal juga berkembang pesat dengan produk halal kian mendapat permintaan di serata perdagangan antarabangsa.
Menyedari kepentingan itu, Malaysia enggan kehilangan kedudukan sebagai negara peneraju dan utama dalam mempromosikan produk halal.
Beliau turut berkongsi komitmen MATRADE dalam mencapai pertumbuhan eksport pada paras paling minimum lima peratus dan ke arah sasaran RM1.58 trilion sebagaimana ditetapkan bagi 2025.
“Itu hanya sasaran sederhana. Sudah pasti ada cabarannya, namun Insya-Allah kita berharap dapat mencapai RM1.58 trilion pada tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial