WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN PERLUAS BARANGAN BOLEH DIBELI MENERUSI BANTUAN SARA

01/05/2025 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Prihatin dengan suara rakyat serta hasil maklum balas daripada majoriti penerima, Kerajaan MADANI memperluas dan menambah kategori barangan boleh dibeli menerusi bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perluasan kategori barangan itu melibatkan produk kebersihan rumah seperti sabun atau serbuk pencuci pakaian, pinggan mangkuk dan lantai, menjadikan kategori barangan berdaftar di bawah SARA meningkat kepada 14.

Barangan lain yang dibenarkan sebelum ini termasuk pelbagai barangan makanan asas, kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

“Kerajaan MADANI sentiasa mendengar suara rakyat demi memastikan kelangsungan hidup mereka terus terbela. Perluasan kategori barangan dibenarkan di bawah SARA adalah hasil maklum balas daripada majoriti penerima. Arakian, kerajaan bertindak segera untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan terus menambah baik pelaksanaan program SARA dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan sama memaklumkan lebih 3.9 juta penerima SARA mula menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas dari kedai yang berdaftar sepanjang April.

“Sambutan sangat menggalakkan apabila 72 peratus daripada jumlah 5.4 juta penerima SARA mula berbelanja menggunakan MyKad dalam bulan pertama pengkreditan SARA. Penerima SARA telah ditingkatkan daripada 700,000 kepada 5.4 juta mulai April,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, bilangan kedai runcit dan pasar raya berdaftar di bawah SARA juga telah mencecah lebih 3,700 buah di seluruh negara berbanding 700 tahun lepas, dan bilangan kedai runcit akan terus ditambah bagi memastikan terdapat kedai SARA yang berdekatan dengan tempat tinggal penerima.

Kementerian Kewangan juga memaklumkan dari segi prestasi pelaksanaan SARA hingga 29 April lepas, peratus tertinggi penerima yang telah membuat pembelian SARA melalui MyKad adalah di Sabah dengan 84 peratus, diikuti Perlis (82 peratus), Kedah (80 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (79 peratus) dan Kelantan (78 peratus).

“Kadar maksimum SARA yang diterima tahun ini adalah hingga RM2,100 berbanding RM1,200 pada tahun lepas, yang merupakan peningkatan 75 peratus. Pembelian SARA boleh dibuat sepanjang tahun dan baki kadar atau kredit bulanan SARA akan dibawa ke bulan seterusnya hingga 31 Dis,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan