WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRASARANA PERKUKUH APLIKASI MYRAPID PULSE BAHARU, PERKENAL PELBAGAI FUNGSI MENARIK

01/05/2025 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan aplikasi perancang perjalanan MyRapid PULSE baharu, yang bakal memberi pelbagai manfaat kepada pengguna pengangkutan awam kendaliannya, bagi menggantikan versi terdahulu yang ditamatkan hari ini.

Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengenalan aplikasi itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pemangkin utama dalam memperkasakan sektor pelancongan negara, sekali gus memudahkan pelancong terutamanya dari luar negara merancang perjalanan mereka.

“Ciri utama dalam aplikasi ini termasuk fungsi navigasi perancang perjalanan yang lebih mudah dan mesra pengguna, serta pengenalan ciri ‘Explore City’ atau ‘Jelajah Bandar’.

“Ia akan membantu pengguna mengenal pasti lokasi menarik di sekitar Lembah Klang berdasarkan kategori seperti mercu tanda pelancongan dan sebagainya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MyRapid PULSE yang baharu juga direka sebagai pelengkap gaya hidup moden yang menitikberatkan kesalinghubungan, penerokaan, ganjaran gaya hidup serta kemudahan harian, khusus untuk pengguna pengangkutan awam sama ada untuk tujuan ulang-alik harian mahupun pengembaraan menjelajah bandar.

Aplikasi itu turut memperkenalkan ciri ‘Ganjaran dan Promosi’ yang memberikan lebih nilai tambahan kepada pengguna berdaftar dengan kerjasama jenama runcit dan gaya hidup terpilih, membolehkan pengguna boleh menikmati pelbagai tawaran eksklusif seperti diskaun pembelian dan promosi khas.

Sehubungan itu, Prasarana menggalakkan semua pengguna untuk memuat turun aplikasi MyRapid PULSE versi baharu di Google Play Store dan Apple App Store untuk menikmati pengalaman perjalanan terkini dan segala ciri ditawarkan.

“Selaras dengan slogan Prasarana iaitu "Memajukan Mobiliti, Memperkaya Pengalaman”, Prasarana turut berharap aplikasi ini dapat membantu semua pengguna, khususnya pelancong dan pengguna kali pertama untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih efisien dari satu lokasi ke lokasi lain,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan