KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) secara kolektif melaksanakan dasar gaji kehidupan, memastikan semua pekerja tetap warganegara Malaysia kini memperoleh pendapatan melebihi ambang gaji bulanan.
GLIC yang telah memenuhi komitmen ini termasuk Khazanah Nasional Bhd, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh enam GLIC hari ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata bahawa langkah kolektif GLIC untuk melaksanakan gaji kehidupan wajar merupakan langkah penting untuk meningkatkan tahap, memastikan pertumbuhan adalah inklusif dan berakar umbi dalam kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Pelaksanaan gaji kehidupan wajar merupakan sebahagian daripada inisiatif GEAR-uP diterajui oleh Kementerian Kewangan dalam mencari usaha bersinergi merentas GLIC untuk memangkin pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama di Malaysia dengan dua objektif ‘meningkatkan siling’ dan ‘menaikkan lantai’ (meningkatkan tahap).
“Penanda aras gaji kehidupan wajar telah ditetapkan pada kira-kira RM3,100 sebulan, iaitu lebih tinggi daripada gaji minimum bulanan RM1,700 diumumkan dalam Belanajawan 2025 dan dilaksanakan pada 1 Februari, 2025,” kata kenyataan itu.
Ia berkata angka itu berdasarkan analisis perbandingan penggajian industri dan piawaian kos sara hidup seperti yang digariskan dalam Panduan Perbelanjaan Belanjawanku 2024/2025.
“Panduan Perbelanjaan Belanjawanku dibangunkan bersama oleh KWSP dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya, menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan minimumdiperlukan untuk taraf hidup yang baik.
“Pendekatan gaji kehidupan wajar memperkasa majikan untuk menawarkan jumlah pampasan melebihi gaji asas, merangkumi pelbagai manfaat yang meningkatkan kualiti hidup individu termasuk penjagaan kesihatan, pelan persaraan dan mekanisme simpanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial