PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pembukaan Kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur, yang dijadualkan dirasmikan pada 6 petang hari ini.
Dalam sidang media bersama sempena lawatan rasmi selama empat hari Presiden Kosovo Dr Vjosa Osmani Sadriu, Anwar menyifatkan pembukaan kedutaan itu sebagai detik penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Kosovo.
“Ini pastinya akan memudahkan urusan perdagangan, pelaburan, pendidikan, kebudayaan, dan pelancongan antara kedua-dua negara. Ia juga merangkumi kerjasama dalam produk halal memandangkan piawaian halal Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus membantu memudahkan eksport produk dari Malaysia dan Kosovo,” kata Anwar.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama ekonomi, khususnya dalam memanfaatkan hubungan Kosovo dengan Kesatuan Eropah.
“Tetapi yang lebih penting ialah kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan agar kita dapat memanfaatkan kekuatan Kosovo serta hubungannya yang erat dengan Kesatuan Eropah,” katanya.
Osmani yang tiba semalam, diberi istiadat sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini, pagi tadi.
Malaysia merupakan antara negara Asia terawal yang mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada 30 Okt 2008, dengan hubungan diplomatik rasmi dimeterai pada 18 Mac 2011.
Anwar berkata Malaysia kekal komited untuk menjalinkan kerjasama dengan Kosovo melangkaui hubungan diplomatik konvensional, merangkumi bidang perdagangan, pelaburan serta kerjasama lebih meluas antara kedua-dua negara.
“Saya berharap akan ada lebih banyak libat urus, bukan sekadar kerjasama teknikal dengan Kosovo. Namun percayalah, Presiden, kami tidak menganggap ini sekadar hubungan diplomatik biasa, sebaliknya memberi jaminan bahawa Malaysia adalah rakan sejati,” katanya.
Anwar berkata beliau telah memberi jaminan kepada Presiden bahawa Malaysia akan menyambung semula rundingan dua hala di peringkat rasmi dalam masa terdekat bagi memastikan pelaksanaan program, projek serta hubungan ekonomi dan perdagangan berjalan lancar.
Menurut Anwar, dalam pertemuan mereka sebelum itu, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di peringkat global.
Anwar berkata kedua-dua pemimpin berkongsi keyakinan yang kukuh terhadap prinsip kemerdekaan, hak asasi manusia serta penghormatan terhadap maruah insan, dan turut membincangkan pelbagai isu global termasuk situasi di Palestin serta usaha mempromosi keamanan di pelbagai rantau dunia.
Mengenang hubungan yang semakin erat antara Malaysia dan Kosovo, beliau berkata Malaysia telah lama mengikuti perjalanan Kosovo ke arah kemerdekaan dan kestabilan.
“Kami menyusuri sejarah Kosovo, dan kami mengagumi ketabahan rakyatnya yang terpaksa menghadapi pelbagai kesukaran, penderitaan serta kekejaman yang dilakukan terhadap mereka,” kata Anwar.
Beliau berkata ramai rakyat Malaysia turut mengikuti secara dekat perkembangan di Bosnia Herzegovina dan Kosovo, dan mengimbas kembali bahawa ketika era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Malaysia merupakan antara negara terawal yang mengambil langkah tepat dengan mengiktiraf kemerdekaan Kosovo.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial