WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDRIVE MALAYSIA SEDIA BERBINCANG DENGAN PIHAK BERKUASA SELEPAS LESEN DIBATALKAN

02/05/2025 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- InDrive Malaysia (InDrive) sedang berbincang dengan pihak berkuasa kawal selia berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut susulan notis pembatalan yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) baru-baru ini.

Menurut syarikat e-panggilan global itu, pihaknya secara proaktif sudah menghubungi agensi berkaitan untuk memahami dengan lebih baik dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kesinambungan perkhidmatannya di Malaysia.

“Kami komited untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang selamat, boleh dipercayai dan boleh diakses kepada puluhan ribu pengguna di seluruh Malaysia yang menggunakan platform ini setiap hari.

“Sebagai platfrom perkhidmatan bandar dan mobiliti global, InDrive beroperasi dengan memberi penghormatan tertinggi terhadap undang-undang, peraturan tempatan dan komuniti.  

“Kami akan memberikan maklumat terkini apabila kami menerima penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa.

“Kami berterima kasih atas kefahaman dan sokongan berterusan anda,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Menurut laporan, APAD memberi tempoh tiga bulan kepada InDrive untuk memulangkan lesen perniagaan pengantaraan (IBL) selepas syarikat itu gagal mematuhi peraturan yang diperkenalkan pada 2019.

Tindakan terhadap InDrive itu merupakan notis penamatan kedua yang dikeluarkan ke atas perkhidmatan e-panggilan dari Rusia selepas Maxim pada 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan