WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENYALAHGUNAAN, PENYELUDUPAN DADAH DI KELANTAN MEMBIMBANGKAN - SAIFUDDIN

04/05/2025 06:23 PM

PASIR MAS, 4 Mei (Bernama) -- Situasi penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Kelantan sangat membimbangkan berdasarkan data tangkapan, reman dan sabitan yang menunjukkan trend peningkatan sejak 2022, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata tinjauan dan taklimat yang diterimanya semasa lawatan kerja ke negeri ini hari ini menunjukkan bahawa jenayah berkaitan dadah menjadi antara isu keselamatan paling serius di Kelantan.

“Data menunjukkan bahawa majoriti dadah yang dirampas adalah daripada kategori sintetik seperti pil kuda dan dadah stimulan. Ganja turut dirampas tetapi dalam jumlah lebih kecil.

“Trend penagihan, pengedaran dan penyeludupan dadah semakin meningkat dan hal ini dapat dilihat melalui jumlah tangkapan serta kes-kes yang berakhir dengan sabitan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Rantau Panjang di sini.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap tahap kesesakan penjara di negeri ini yang dikaitkan dengan sabitan kes dadah.

"Penjara Machang kini menampung lebih 3,000 banduan sedangkan kapasitinya hanya 1,560, melebihi 104 peratus. Daripada jumlah itu, 80 peratus merupakan pesalah dadah. 

"Penjara Pengkalan Chepa pula melebihi kapasiti dengan 2,977 banduan dan 65 peratus daripadanya berkaitan kes dadah,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata berdasarkan piawaian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), tahap penyalahgunaan dadah diukur melalui nisbah kes bagi setiap 100,000 penduduk.

“Kelantan dengan populasi 1.8 juta merekodkan kira-kira 23,000 kes penyalahgunaan dadah daripada empat sumber utama iaitu Kementerian Kesihatan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pusat pemulihan dadah. Ini menjadikan nisbah Kelantan melebihi 1,000 kes per 100,000 penduduk, jauh mengatasi purata nasional iaitu 566,” katanya.

Beliau berkata lima daerah yang mencatatkan kes dadah tertinggi ialah Jeli, Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh dengan Kelantan termasuk dalam empat negeri sempadan bersama Kedah, Perlis dan Terengganu yang mencatat kadar tertinggi kes berkenaan.

Saifuddin Nasution berkata sehubungan itu, polis Kelantan telah diarahkan untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi mengawal bekalan dadah serta memperkukuh kerjasama dengan AADK bagi memperkemas strategi pencegahan.

“Saya juga menekankan pentingnya aspek kesedaran melibatkan masyarakat dan pihak sekolah dalam memerangi ancaman dadah ini,” katanya.

Beliau berkata tahap keselamatan keseluruhan di negeri ini berada dalam keadaan baik hasil komitmen pasukan keselamatan yang berterusan.

Turut hadir Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan