WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KALAU TIDAK MAMPU JANGAN PEGANG KUASA - HANNAH

06/05/2025 10:58 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menggesa agar tanggungjawab mengurus kelab bola sepak hanya diberikan kepada pihak yang benar-benar berkeupayaan dari segi kewangan dan pengurusan demi memastikan kelangsungan liga domestik serta menjaga kebajikan pemain.

Beliau berkata kegagalan sebahagian kelab dalam mengurus perkara asas seperti pembayaran gaji dan kebajikan pemain berkemungkinan besar menjejaskan usaha menarik minat penaja untuk terus menyokong pembangunan sukan bola sepak.

“Jadi kalau bola sepak rasa susah untuk mendapatkan penaja, bayangkan sukan lain. Bola sepak mempunyai penonton yang ramai, oleh sebab itu, saya rasa untuk meyakinkan penaja, mereka hanya nak lihat cara pentadbiran kelab, bagaimana membayar gaji ataupun menjaga kebajikan pemain.

“Saya minta kalau yang tak mampu jangan ‘sentuh, biar orang lain ambil. Kadang-kadang ada yang tak mampu tetapi nak simpan kuasa itu, jadi orang lain tak boleh ‘sentuh’,” katanya ketika ditemui pada Majlis Resepsi Meraikan Skuad Olahraga Jerman oleh Kedutaan Jerman di sini, malam tadi.

Hannah turut mengingatkan bola sepak bukan sukan yang murah kerana ia memerlukan ekosistem yang besar untuk memastikan perjalanan liga dan pembangunan pemain berjalan lancar.

Krisis kewangan yang membelenggu pasukan bola sepak tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin meruncing apabila Perak FC mengambil keputusan membubarkan pasukan dan menarik diri daripada saingan Liga Super musim baharu manakala beberapa lagi pasukan dilaporkan sedang menimbang langkah sama.

Perak dilaporkan sudah membelanjakan hampir RM40 juta sejak tiga tahun lepas.

Mengulas hala tuju Liga Malaysia (Liga-M), Hannah berkata badan pentadbir Liga Bolasepak Malaysia (MFL) wajar mengadakan perbincangan menyeluruh dengan pihak berkepentingan bagi memastikan masa depan liga lebih terancang dan mampan.

Sementara itu, Hannah berkata gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah contoh kelab profesional yang wajar dijadikan penanda aras oleh kelab-kelab lain dan tidak melihat dominasi Harimau Selatan itu menyebabkan saingan liga hilang unsur kompetitif.

“Saya rasa tidak patut dipersalahkan kerana mereka bagus. Sebaliknya, usaha perlu dilakukan untuk mencapai tahap mereka, bukan bertindak memboikot dan enggan beraksi semata-mata kerana mereka terlalu bagus. Bagi saya tindakan itu tidak wajar dan tidak rasional.

“Bagi saya, JDT sedang meningkatkan mutu bola sepak tempatan sebagai sebuah kelab dan ia sesuatu yang patut dipuji. Sepatutnya pasukan lain menjadikan usaha untuk bersaing secara sihat dengan JDT sebagai sasaran utama, bukan mengambil sikap ‘kalau tak mampu tandingi JDT, lebih baik tak main’. Itu bukan semangat kesukanan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan