WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMILIHAN PKR: NURUL IZZAH AKAN BUAT KEPUTUSAN TERBAIK

07/05/2025 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar akan membuat keputusan terbaik berhubung cadangan akar umbi dan pimpinan yang mahukan beliau bertanding Timbalan Presiden pada pemilihan parti bagi sesi 2025-2028.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang berkata keputusan itu, mestilah mengimbangi antara kesepakatan, jalinan dengan persahabatan dan perubahan serta reformasi bermakna buat semua anggota.

“Setulusnya, saya menghormati dan menghargai pandangan akar umbi untuk saya bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Keadilan.

“Keadilan sedang berada dalam fasa penting. Justeru, segala keputusan yang bakal diambil haruslah mempertimbangkan bukan sahaja keperluan menyatu dan memperkukuh jalinan sesama sahabat seperjuangan, tetapi juga keperluan membawa nafas baharu dan perubahan bermakna demi memastikan parti ini terus relevan dan diyakini rakyat Malaysia,” katanya.

Nurul Izzah berkata kata putus yang diberikan bukanlah untuk mana-mana individu, tetapi demi usaha membina masa depan parti secara bersama di kala suka dan duka.

Hari ini, Nurul Izzah terus menerima sokongan untuk bertanding jawatan nombor dua parti daripada Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan MPN Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak serta Ketua Cabang Labuan Simsudin Sidek.

Semalam, lima ketua cabang iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri (Hang Tuah Jaya), Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan (Alor Gajah), Azlan Osman (Tangga Batu), Jagatheason Ramiah (Jasin) dan Md Yusoff Ahmad (Kota Melaka) turut menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah bertanding jawatan tersebut.

Turut menyatakan sokongan ialah Pengerusi MPN Selangor yang juga Naib Presiden Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Cabang Tapah Azam Afandi.

Pada 15 Mac lepas, Nurul Izzah menyatakan kesediaan mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya pada pemilihan PKR bulan ini. Jawatan Timbalan Presiden PKR kini disandang Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.

Sementara itu, Naib Pengerusi MPN Kelantan Zamakh Sari Ibrahim menggesa semua calon yang berhasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti, segera menyatakan pendirian mereka.

“Kriteria calon yang akan dipilih oleh kami untuk jawatan timbalan presiden ini adalah individu yang mampu memikul beban tugas presiden dalam menguruskan parti, diterima semua pihak dan setia kepada perjuangan parti,” katanya pada sidang media di Pejabat PKR Tumpat, Kelantan hari ini.

 Pencalonan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), AMK Pusat dan Wanita Pusat akan berlangsung selama dua hari bermula esok secara dalam talian.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita akan diadakan dari 21 hingga 24 Mei ini, di Johor Bahru.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, Naib Presiden PKR Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi MPN Negeri Sembilan berkata jawatan timbalan presiden adalah terbuka untuk ditandingi oleh mana-mana individu.

 “Itu hak masing-masing nak tentukan siapa...bagi saya semua orang layak untuk dicalonkan,” kata Aminuddin yang juga Menteri Besar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan