WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANWAR UCAP TAHNIAH KEPADA PENGANUT KATOLIK ATAS PEMILIHAN PAUS LEO XIV

09/05/2025 10:31 AM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada penganut Katolik di seluruh dunia, khususnya di Malaysia, atas pemilihan Paus Leo XIV.

Beliau berkata detik bersejarah ini menandakan lembaran baharu bagi komuniti Katolik dunia, dan yakin bahawa ia akan menjadi sumber tekad dan inspirasi yang diperbaharu.

"Malaysia menghargai hubungan dengan Holy See dan kami berharap dapat meneruskan jalinan kerjasama yang berteraskan sikap saling menghormati, dialog dan komitmen bersama terhadap keamanan dan maruah insan," kata Anwar dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Robert Prevost, seorang kardinal berusia 69 tahun dari Chicago, Amerika Syarikat (AS) dipilih sebagai paus baharu pada Khamis – menjadi rakyat AS pertama memegang jawatan tertinggi gereja Roman Katolik itu.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), beliau akan menggunakan nama Paus Leo XIV, menandakan kali pertama nama itu digunakan sejak abad ke-19.

Beliau menggantikan Paus Francis yang meninggal dunia pada 21 April lepas pada usia 88 tahun selepas mengalami beberapa masalah kesihatan termasuk serangan jantung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan