WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDRIVE, MAXIM DIARAH HENTI OPERASI BERKUAT KUASA 24 JULAI

09/05/2025 04:35 PM

JOHOR BAHRU, 9 Mei (Bernama) -- Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah menghantar surat mengarahkan pemberhentian operasi dua aplikasi e-hailing dari Rusia yang didakwa dijalankan secara haram iaitu InDrive dan Maxim, berkuat kuasa 24 Julai ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Berkuat kuasa 24 Julai ini, operasi InDrive dan Maxim perlu dihentikan daripada beroperasi di negara ini.

“Dua syarikat e-hailing berkenaan boleh membuat rayuan namun rayuan itu hanya boleh diputuskan saya selaku Menteri Pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Semula Landasan untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Pasir Gudang-Kempas Baru, dekat sini, hari ini.

Isnin lepas, Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia dilaporkan menggesa kerajaan melaksanakan penguatkuasaan tegas terhadap kedua-dua aplikasi e-hailing tersebut termasuk menyekat akses platform itu kerana menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi peraturan di bawah akta sedia ada.

Persatuan itu mendakwa antara ketidakpatuhan aplikasi berkenaan adalah tidak memastikan pemandu mereka memiliki Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah seperti yang diwajibkan oleh undang-undang Malaysia.

Selain itu, terdapat juga dalam kalangan pemandu kedua-dua aplikasi berkenaan didakwa tidak memiliki insurans e-hailing dan tidak melakukan pemeriksaan kenderaan seperti terma dan syarat ditetapkan.

Menurut APAD, dua syarikat e-hailing itu didapati melanggar syarat pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) termasuk memastikan semua kenderaan di bawah platform mereka beroperasi dengan Permit Kenderaan E-hailing (EVP) yang sah iaitu satu daripada syarat utama dalam Lesen Pengendali Individu (IBL) mereka.

Pelanggaran itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12D(1)(a) akta tersebut yang memberikan kuasa kepada APAD untuk membatalkan lesen mana-mana pengendali yang melanggar syarat-syarat ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan