WILAYAH - SARAWAK > BERITA

XI SERU CHINA, RUSIA KEKALKAN KEAZAMAN STRATEGIK DAN PERPADUAN

09/05/2025 06:00 PM

MOSCOW, 9 Mei (Bernama-Xinhua) -- China dan Rusia mesti mengekalkan keazaman strategik dan penyelarasan ketika dunia memasuki era baharu yang penuh pergolakan dan perubahan, kata Presiden China Xi Jinping pada Khamis.

Xi membuat kenyataan itu semasa sesi perbincangan santai bersama Presiden Rusia Vladimir Putin di Kremlin, sempena lawatannya untuk menghadiri acara memperingati ulang tahun ke-80 Hari Kemenangan, lapor agensi berita Xinhua. 

Beliau berkata selagi kedua-dua negara kekal bersatu dalam strategi, tiada kuasa yang boleh menghalang pembangunan dan kebangkitan semula mereka.

Xi turut menegaskan bahawa asas persahabatan antara rakyat kedua-dua negara adalah kukuh dan tidak boleh digugat, manakala trend global ke arah dunia multipolar dan globalisasi ekonomi tidak boleh berpatah balik.

Xi juga menyatakan kesediaannya untuk terus mengekalkan komunikasi rapat dengan Putin bagi merangka hala tuju hubungan China-Rusia serta menyumbang kepada kemajuan tadbir urus global.

Putin dalam reaksinya berkata Rusia dan China sentiasa berdiri dalam solidariti dan menyokong antara satu sama lain, sekali gus mewujudkan persahabatan yang tidak boleh digugat.

Beliau komited untuk mengekalkan dialog strategik yang rapat dengan Xi, memandu perkembangan hubungan dua hala dan bekerjasama dalam menangani landskap global yang semakin kompleks.

Pemimpin Rusia itu turut menyatakan bahawa kedua-dua negara berhasrat untuk memperdalam penyelarasan strategik, melindungi kepentingan bersama serta mempromosikan orde dunia yang lebih adil, demokratik dan multipolar.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai krisis Ukraine.

Xi sekali lagi mengulangi pendirian China, yang menekankan visi keselamatan bersama, komprehensif, kerjasama dan mampan. Beliau berkata kebimbangan keselamatan yang sah oleh semua negara mesti diambil serius dan punca sebenar konflik Ukraine perlu ditangani.

China, katanya mengalu-alukan semua usaha yang kondusif  untuk keamanan dan berharap satu perjanjian damai yang adil, berkekalan dan mengikat serta boleh diterima oleh semua pihak berkaitan dapat dicapai melalui dialog.

Putin memuji pendirian China yang objektif dan tidak berat sebelah dalam usaha penyelesaian politik konflik itu.

Beliau berkata Rusia bersedia untuk terlibat dalam rundingan damai tanpa prasyarat dan berharap dapat mencapai satu perjanjian yang adil dan berkekalan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan