WILAYAH - SARAWAK > BERITA

XI, PUTIN ADAKAN RUNDINGAN

09/05/2025 06:27 PM

MOSCOW 9 Mei (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin mengadakan rundingan di Istana Kremlin di sini pada Khamis.

Pemimpin kedua-dua negara sepakat untuk memperkasa penyelarasan strategik dan mendorong hubungan dua hala berkembang ke arah yang mampan, sihat dan holistik.

Mereka juga komited bersama-sama menegakkan perspektif yang betul terhadap sejarah Perang Dunia II, di samping memelihara kewibawaan dan status Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta keadilan antarabangsa.

Dalam rundingan itu, Xi menyatakan bahawa China dan Rusia perlu mengekalkan kerjasama dengan menolak gangguan dari luar supaya dapat menjadikan dasar kerjasama lebih stabil dan kukuh, dan menghasilkan momentum perkembangan yang lebih kuat.

"Perlunya memanfaatkan sumber milik pihak masing-masing dan keserasian yang tinggi dalam sistem industri kedua-dua negara untuk memperluas dan meningkatkan kualiti kerjasama yang saling menguntungkan dalam bidang ekonomi, perdagangan, sumber tenaga, pertanian, aeroangkasa, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya.

"Kedua-dua negara perlu menjadikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang menekankan pembinaan bersama, dan Kesatuan Ekonomi Eurasia sebagai platform penyelarasan untuk merancakkan landskap kesalinghubungan yang berspesifikasi tinggi," kata Xi.

"Kedua-dua negara juga harus mencungkil potensi dari Tahun Kebudayaan China-Rusia, meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, perfileman, pelancongan, sukan serta mengeratkan pertukaran di peringkat daerah.

“Kedua-dua negara dikehendaki meningkatkan koordinasi dan kerjasama di pelbagai platform multilateral termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan BRICS, memperkukuh perpaduan Global Selatan, mempertahankan amalan multilateralisme yang sebenar, serta memastikan hala tuju transformasi tadbir urus global yang lebih adil," kata Xi.

Xi menekankan lagi bahawa China bersedia bekerjasama dengan Rusia untuk memikul tanggungjawab khas yang selaras dengan keistimewaan zaman ini, memelihara sistem perdagangan multilateral global serta memelihara kestabilan dan kelancaran rantaian industri dan rantaian bekalan,  bersama-sama memberikan sumbangan lebih besar kepada usaha menggalakkan pembangunan dan kebangkitan kedua-dua negara serta memelihara kesaksamaan dan keadilan antarabangsa.

Sementara itu, Putin dalam rundingan itu menyatakan bahawa memperkukuh hubungan Rusia-China dan memperluas kerjasama yang saling menguntungkan merupakan pilihan strategik Rusia. Negaranya berpegang teguh pada prinsip Satu China dan sentiasa menyokong pendirian China berhubung isu Taiwan.

Putin berkata  Rusia bersedia mengekalkan pertukaran peringkat tinggi yang rapat dengan China, mempertingkat kerjasama yang substantif dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pertanian serta sains dan teknologi. Selain itu, pihaknya juga mahu bersama dengan China memperdalam pertukaran dalam kalangan rakyat dalam bidang pendidikan, kebudayaan, belia dan pelancongan serta menambah elemen baharu kepada kerjasama di wilayah Timur Jauh.

Selepas rundingan itu, Xi dan Putin telah menandatangani kenyataan bersama mengenai pemerkasaan Perkongsian Koordinasi Strategik Komprehensif China-Rusia pada Era Baharu, dan menyaksikan pertukaran lebih 20 dokumen kerjasama bilateral melibatkan kestabilan strategik global, pemeliharaan kewibawaan undang-undang antarabangsa, keselamatan biologi, perlindungan pelaburan, ekonomi digital, kuarantin, perfileman dan sebagainya.

Pemimpin kedua-dua negara ini kemudian juga bersama-sama menghadiri sesi wawancara dengan wartawan.

--BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan