WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS BURU 'KECIK' DISYAKI TERLIBAT JENAYAH CURI KABEL

09/05/2025 06:35 PM

MELAKA, 9 Mei (Bernama) -- Polis sedang memburu suspek curi kabel dikenali dengan nama pangilan ‘Kecik’, yang melarikan diri selepas dikejar Unit Kereta Peronda (MPV) di Kilometer 216.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini, Selasa lepas. 

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata suspek berusia 25 tahun berasal dari Teluk Intan, Perak itu melarikan diri, sementara rakannya berumur 29 tahun berjaya ditangkap pasukan MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Alor Gajah. 

“Gambar suspek telah diedarkan dan kita mohon mereka yang mempunyai maklumat mengenainya untuk menghubungi polis,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Asas Unit Tempur Ringan (LSF) Siri 1/2025 Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini. 

Tiga hari lepas media melaporkan polis memberkas seorang lelaki selepas menahan sebuah Toyota Hilux dipandu menentang arus di lebuh raya PLUS pada 5.30 pagi, manakala rakannya telah meloloskan diri.

Dalam kejadian itu, suspek terlebih dahulu merempuh empat kenderaan lain termasuk sebuah lori di lebuh raya tersebut sebelum pemeriksaan polis menemukan kabel dalam pacuan empat roda terbabit. 

Sementara itu Dzulkhairi berkata kursus asas LSF bermula 21 April lepas yang melibatkan enam pegawai kanan serta 72 pegawai rendah polis itu diadakan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan insiden seperti kekacauan, rusuhan, pemberontakan dan tindakan gangguan ketenteraman awam, khususnya pada pilihan raya.

“Kursus ini juga adalah persediaan awal bagi memastikan anggota polis Melaka dalam keadaan siap siaga sempena pelantikan Melaka sebagai penganjur Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 dan tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dijangka pada 7 Sept,” katanya.

Pada majlis itu, Dzulkhairi juga menyampaikan surat penghargaan kepada 14 anggota polis terlibat dalam kejayaan menumpaskan suspek curi kabel, baru-baru ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan