KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Seorang penuntut universiti swasta didenda RM5,000 atau dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencabul seorang ahli patologi wanita warga Amerika Syarikat di dalam koc tren aliran transit ringan (LRT) awal tahun ini.
Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu selepas Rahman Md Moshiur, 28, mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 26 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.
Warga Bangladesh itu didakwa melakukan kesalahan itu di dalam gerabak tren dari Stesen Universiti yang menghala ke Stesen Bangsar pada 9 pagi 9 Jan lepas mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, pula memohon hukuman denda yang ringan atas alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama di masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial