BERITA TERGEMPAR | Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | |
KOTA BHARU, 13 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan menggali pasir secara haram di kawasan sungai dekat Kampung Pahi, Kuala Krai menerusi Op Taring Wawasan pada Ahad lepas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata operasi itu, dijalankan dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu sekitar 4.15 petang.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati, kegiatan itu dilakukan tiga lelaki warga tempatan dan tiga warga Bangladesh, serta gagal menunjukkan permit atau dokumen pemindahan pasir yang sah.
“Polis menahan dan merampas semua peralatan dan mesin jentera seperti rumah penyedut pasir, jengkaut, lori dan peralatan lain yang digunakan untuk memindahkan pasir, dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM2 juta.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965. Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros Nik Azhan berkata pihaknya turut menumpaskan kegiatan penyeludupan kelapa, selepas menahan sebuah treler dan dua lori di Kampung Terbak, Tumpat pada Ahad menerusi Op Taring Wawasan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, tiga lelaki warga tempatan sedang memindahkan kira-kira 45,100 kilogram kelapa daripada treler ke lori dan mereka gagal menunjukkan dokumen pembelian berkaitan kelapa tersebut.
“Anggaran rampasan bernilai RM1.35 juta termasuk kenderaan dan kes disiasat di bawah Peraturan 4(2) Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973. Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat FAMA Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Nik Ros Nik Azhan berkata pasukan Batalion 9 PGA turut berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan lembu selepas menahan sebuah kenderaan di Kampung Tok Uban, Pasir Mas sekitar 11.25 malam pada Ahad.
“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat tiga ekor lembu dipercayai diseludup dari Thailand ditemukan dalam gerabak belakang kenderaan tersebut tanpa dokumen yang sah. Pemandu seorang lelaki warga tempatan dipercayai menjadi penghantar lembu tersebut ke pasaran tempatan turut ditahan.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM 69,000 termasuk kenderaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial