CHUKAI, 13 Mei (Bernama) -- Seorang pelajar tingkatan dua lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Padang Kemunting, Kijal di sini ketika memancing bersama empat rakannya, semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata mangsa, Shahrizuan Hafizi Mohamad Azli, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal, meninggal dunia di Hospital Kemaman pada 7.37 malam.
Beliau berkata berdasarkan siasatan kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat rakannya berusia 11 hingga 15 tahun keluar memancing di sungai itu kira-kira 11 pagi semalam.
“Semasa memancing mata kail mangsa tersangkut pada kayu dalam sungai dan dia cuba turun meleraikan mata kail tersebut tetapi tergelincir dan lemas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Razi berkata rakan-rakan mangsa kemudian bergegas mendapatkan bantuan penduduk kampung dan seorang penduduk kampung bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa.
Beliau berkata mangsa telah diberi bantuan pernafasan oleh penduduk sementara menunggu bantuan tiba dan kemudian dibawa ke Hospital Kemaman oleh pasukan penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial