WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LEBIH 200 INDIVIDU TERPERDAYA SKIM PELABURAN IRPS, RUGI RM80 JUTA

13/05/2025 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Sebanyak 232 individu mendakwa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM80 juta selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan Saham Boleh Tebus Syariah (IRPS).

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya menerima aduan daripada mangsa mendakwa syarikat-syarikat terlibat gagal membuat pembayaran dividen seperti dijanjikan sebelum mereka menyertai skim pelaburan tersebut.

Beliau berkata kesemua mangsa tertarik menyertai skim pelaburan ditawarkan syarikat-syarikat berkenaan kerana dijanjikan dividen yang tinggi. 

“Ini ditambahkan lagi dengan kehadiran individu-individu terkemuka dan berpengaruh yang memegang jawatan di dalam syarikat tersebut, menyebabkan ramai lagi individu awam lain menyertai skim pelaburan saham IRPS,” katanya kepada pemberita di pekarangan pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa telah membuat aduan kepada SC hari ini selain berharap siasatan menyeluruh dijalankan.

Sementara itu, pesara syarikat penerbangan Lutfi Daud, 60, mendakwa kerugian RM250,000 apabila pulangan skim pelaburan dijanjikan tidak diterima, sekali gus menjejaskan simpanan hasil skim pemisahan sukarela (VSS) yang sepatutnya digunakan untuk hari tuanya.

Lutfi berkata dia menyertai skim pelaburan itu pada 2022 dan menambah lagi nilai pelaburan pada 2024 selepas melihat prestasi awal yang meyakinkan.

“Mula-mula saya lihat pelaburan ini memberikan pulangan stabil, jadi saya pun tarik isteri sekali masuk pada 2024, tetapi bila ada masalah pulangan hasil, saya mula risau kerana semua wang VSS saya dilabur dalam skim ini,” katanya.

Menurut Lutfi, kerugian itu turut memberi kesan emosi dan sosial kepada dirinya apabila dipandang serong sesetengah ahli keluarga dan kenalan.

“Bila kita rugi besar macam ni, ada orang yang mula bercakap macam-macam, pandang rendah sampai ke tahap kata kita tak cerdik sangat. Ia memang beri kesan, lebih-lebih lagi kepada pesara macam saya yang masih ada anak belajar,” katanya.

Seorang pengusaha tadika, Abdullah Faizi, 30, pula mendakwa kerugian RM400,000 selepas menyertai skim sama sekali gus memberi kesan besar terhadap perniagaan serta perancangan perkahwinannya.

“Awal pelaburan memang terima bayaran, tetapi bila masuk pembayaran kedua, mula tertangguh, akhirnya syarikat beri alasan masalah kewangan,” katanya yang tertarik melabur skim IRPS kerana portfolio pelaburan kelihatan profesional dan melibatkan individu dikenali serta dipercayai dapat menghasilkan pulangan sebanyak 18 peratus setiap tiga bulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan