WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HANNAH HARAP PRESIDEN BAHARU BAM DAPAT MEMANFAATKAN PENGALAMAN BEKAS PEMAIN

13/05/2025 06:15 PM

PETALING JAYA, 13 Mei (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu dilantik Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dapat mewujudkan lebih banyak ruang kepada bekas pemain kebangsaan untuk menyumbang pandangan serta kepakaran ke arah pembangunan sukan itu. 

Beliau berkata selain mendapatkan maklum balas pemain semasa, penglibatan bersama bekas pemain juga sama bernilai, terutamanya mengambil kira landskap badminton antarabangsa yang semakin berkembang. 

“Industri ini semakin berubah. Badminton pada hari ini tidak sama seperti dahulu. Sebab itu saya merasakan Tengku Zafrul tidak harus hanya bergantung kepada persatuan. Beliau juga perlu mendekati bekas pemain yang masih aktif dalam sukan ini, untuk lebih memahami realiti di lapangan,” katanya. 

Hannah berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 di sini hari ini. 

Tengku Zafrul secara rasmi memegang jawatan sebagai Presiden BAM pada Sabtu lepas, selepas dipilih secara sebulat suara tanpa dicabar pada Mesyuarat Agung Tahunan badan induk itu. 

Hannah juga melahirkan keyakinan terhadap kebolehan Tengku Zafrul, mengambil kira jawatannya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, untuk membawa pembiayaan yang besar kepada BAM.  

“Di Malaysia, ekosistem sukan kita memerlukan dana besar. Tidak semua orang boleh memegang jawatan itu kerana ia bergantung kepada usaha individu itu untuk membawa masuk dana,” katanya. 

Hannah berkata beliau berharap Tengku Zafrul akan memainkan peranan untuk mengekalkan sebanyak mungkin pemain di bawah BAM. 

Baru-baru ini timbul spekulasi bahawa beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah yang kontraknya bersama BAM berakhir Disember lepas, mungkin meninggalkan badan induk badminton negara itu. 

Sabtu lepas Naib Presiden 1 BAM Datuk V. Subramaniam berkata keputusan berkaitan masa depan dua pemain itu akan ditentukan selepas kepulangan mereka daripada kejohanan Terbuka Thailand 2025, yang bermula dari hari ini hingga Ahad. 

Dua pemain tersebut masih belum menandatangani dan menerima kontrak baharu daripada badan induk itu.  

Pada perkembangan lain, Hannah berkata beliau merancang untuk bertemu dengan pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia bagi mendapatkan maklum balas pemain itu berhubung penyertaan Program Road To Gold (RTG). 

Beliau juga berkata senarai terkini atlet di bawah inisiatif RTG akan diumumkan pada akhir Mei. 

-- BERNAMA  

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan