WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MINTAH ENGGAN ULAS KHABAR ANGIN JADI PEMAIN NATURALISASI

14/05/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Penyerang sensasi Kuching City FC Jordan Mintah enggan mengulas mengenai spekulasi kemungkinan beliau dinaturalisasikan bagi menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Ketika ditanya mengenai laporan media yang mendakwa terdapat perancangan untuk menjadikan beliau pemain naturalisasi negara, pemain kelahiran Ghana itu memilih untuk tidak mengulas lanjut.

“Buat masa ini, saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan. Saya belum berada dalam posisi untuk bercakap mengenainya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis penyampaian anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Super 2024/2025 di pejabat Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) di sini hari ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) sejak lima tahun lepas itu tidak menyembunyikan hasratnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya diberi peluang.

Beliau juga mengakui sentiasa mengikuti perkembangan skuad kebangsaan.

“Saya pasti akan berikan 100 peratus. Malaysia seperti rumah saya sendiri ketika ini. Saya rasa sangat selesa berada di sini dan ingin membalas semula segala kebaikan yang saya terima sepanjang berada di negara ini,” katanya.

Pada Mac lepas, laporan media tempatan mendakwa bekas pemain Terengganu FC itu berpotensi untuk dinaturalisasikan berdasarkan komitmen yang konsisten dalam Liga-M sejak lima tahun lepas.

Beliau memulakan karier dalam Liga-M bersama Terengganu FC II pada musim 2020.

Sementara itu, Mintah yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Bulanan Liga Super 2024/2025 bagi bulan Februari berkata beliau berasa gembira menerima anugerah itu buat kali pertama.

“Ini kali pertama saya menang dan saya sangat gembira. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan serta jurulatih Aidil (Aidil Sharin Sahak) yang sentiasa memberikan dorongan dalam setiap perlawanan. Anugerah ini untuk mereka semua,” katanya.

Mintah turut memaklumkan beliau akan pulang ke Ghana untuk bercuti bersama keluarga, selain meneruskan latihan sebagai persiapan awal menghadapi musim baharu serta mengekalkan tahap kecergasannya.

Dalam pada itu, penyerang Sri Pahang FC T. Saravanan dipilih sebagai Pemain Terbaik Bulanan Liga Super 2024/2025 bagi bulan Mac-April.

“Ini kali kedua, sebelum ini dua tahun lepas, saya sangat gembira. Ini saya anggap pembakar semangat untuk buat lebih baik pada masa hadapan,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan