WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PUTIN: HUBUNGAN RUSIA-MALAYSIA BERKEMBANG DENGAN TUMPUAN KERJASAMA LEBIH MENDALAM

15/05/2025 01:49 AM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Presiden Rusia Vladimir Putin menyatakan bahawa hubungan Rusia-Malaysia semakin kukuh, sekali gus mengesahkan komitmen kedua-dua negara untuk memperdalam kerjasama yang bermakna dan produktif.

Beliau berkata lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dari 13 hingga 16 Mei, jelas menunjukkan bahawa hubungan dua hala sedang berkembang dengan jayanya dan progresif, dengan kedua-dua pihak menyatakan minat yang tinggi untuk menjadikan kerjasama mereka lebih substantif dan telus.

Semasa pertemuan mereka, Putin berkata beliau dan Anwar telah membincangkan pelbagai isu berkaitan interaksi dua hala serta perkara-perkara mendesak dalam agenda antarabangsa.

Kedua-dua pemimpin turut mengenal pasti rancangan khusus untuk mengukuhkan kerjasama Rusia-Malaysia pada masa hadapan.

“Rusia dan Malaysia mempunyai tradisi persahabatan dan saling memahami yang lama terjalin. Kami sentiasa berusaha untuk bekerjasama berlandaskan prinsip saling menghormati dan persefahaman bersama," katanya dalam sidang media bersama Anwar di Moscow, Rusia.

Beliau menambah bahawa kedua-dua negara mempunyai semua prasyarat yang diperlukan untuk meningkatkan lagi perkongsian itu.

Mengulas mengenai perbincangan beliau dengan Perdana Menteri Anwar, Putin berkata memandangkan Malaysia kini memegang Jawatan Pengerusi ASEAN, perbincangan turut menyentuh prospek untuk mengembangkan dialog yang substansif antara blok serantau itu dan Rusia.

“Kami bercakap secara terperinci mengenai isu-isu berkaitan pembangunan aman dan mampan di rantau Asia-Pasifik,” kata Presiden Rusia itu.

Dalam bidang kebudayaan dan kemanusiaan, Putin berkata kedua-dua negara kerap menganjurkan festival filem, pameran fotografi dan konsert muzik.

Sementara itu, Putin memaklumkan bahawa kira-kira 700 warga Malaysia kini sedang melanjutkan pengajian di Rusia melalui kuota yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan Rusia hasil kerjasama antara universiti kedua-dua negara.

Rusia dan Malaysia mempunyai lebih 80 perjanjian dalam bidang pertukaran saintifik, pendidikan dan akademik. Diploma universiti Rusia turut diiktiraf oleh majikan di Malaysia tanpa memerlukan akreditasi tambahan.

Mengenai BRICS, Putin berkata di bawah kepengerusian Rusia, kategori baharu “negara rakan” telah diwujudkan, dan Malaysia adalah antara negara yang dijemput menyertai aktiviti BRICS dalam kapasiti itu.

“Kami gembira rakan-rakan Malaysia telah menerima jemputan ini, dan kami akan melakukan segala yang perlu untuk memastikan Malaysia dapat menyertai semua mekanisme rakan BRICS dengan pantas,” tambahnya.

Terdahulu pada Rabu, Anwar diberi sambutan rasmi di Kremlin,  yang menempatkan kediaman rasmi Presiden Putin, sekali gus mencerminkan detik penting dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan Rusia.

Pada 2024, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah perdagangan mencecah RM11.46 bilion (US$2.48 bilion).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan