KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merangkul Anugerah The Cornerstone - Best Landed Development (Honours) menerusi projek Aludra Residensi pada StarProperty Real Estate Developer Awards 2025 di sebuah hotel di sini semalam.
“Kejayaan ini sekali gus memperkukuh pencapaian cemerlang PKNS dalam sektor pembangunan hartanah serta menzahirkan komitmen berterusan terhadap pembangunan rumah bandar dua tingkat yang juga konsep terkini di kawasan perbandaran di Cyber Valley (CV).
“Reka bentuk rumah bangsal yang moden dan mewah serta landskap terancang menyerlahkan keunikan Aludra Residensi semasa sesi penilaian,” menurut PKNS dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan anugerah yang diraih amat bermakna kerana ia mencerminkan komitmen teguh PKNS dalam menyumbang kepada pembangunan di Selangor, yang menyediakan kediaman selesa, selamat dan lengkap dengan pelbagai kemudahan kepada pembeli.
Terletak di lokasi strategik, Aludra Residensi yang juga projek keempat PKNS di CV dan dijangka siap pada Disember 2026 dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, antaranya komuniti berpagar dan berkawal, trek joging, taman permainan kanak-kanak, kawasan rekreasi berlandskap, rumah kelab persendirian dan surau.
StarProperty Real Estate Developer Awards adalah penyertaan ketiga PKNS. Pada tahun lepas, perbadanan itu telah memenangi tiga anugerah menerusi projek Puteri Ariana di Kota Puteri, Ixora di Antara Gapi dan kategori pilihan pembaca bagi Kempen Discover PKNS 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial