KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Lebih 1,000 peserta mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyertai perhimpunan aman, bagi memperingati peristiwa Nakba ke-77, di sini.
Para peserta memulakan perarakan dari Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak di sini, sebelum berhimpun di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British dan kemudiannya meneruskan perarakan ke Kedutaan Amerika Syarikat.
Pengerusi Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia Prof Dr Mohd Nazari Ismail selaku wakil penganjur berkata pihaknya, turut menyerahkan memorandum peringatan Hari Nakba kepada Kaunselor Politik United Kingdom di Malaysia Ruzina Hassan, di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British.
Memorandum itu antara lain menuntut kerajaan British menamatkan semua kerjasama ketenteraan dan ekonomi dengan Israel sehingga mereka mematuhi undang-undang antarabangsa, serta menyokong sekatan terhadap Israel kerana pencabulan hak Palestin, termasuk pembunuhan beramai-ramai yang berterusan dan sekatan ke atas Gaza.
Memorandum itu ditandatangani 31 NGO antaranya BDS Malaysia, Malaysian Women's Coalition for Al-Quds and Palestine, Sekretariat Solidariti Palestin, Angkatan Belia Islam Malaysia, Global Peace Mission Malaysia, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.
Mohd Nazari berkata penganjuran perhimpunan itu, untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa rakyat Palestin masih dizalimi sejak peristiwa pencerobohan zionis pada 1948.
“Kita mengadakan program pada hari ini mengingatkan peristiwa Nakba selama 77 tahun, untuk memaklumkan kepada masyarakat dunia dan juga masyarakat Malaysia bahawa kezaliman yang berlaku di Palestin telah berlanjutan 77 tahun, satu masa yang sangat lama… dan ratusan ribu rakyat Palestin telah terkorban.
“Kita juga ingin memberitahu kepada kerajaan Malaysia dan juga rakyat Malaysia bahawa kita boleh buat sesuatu untuk menyekat genocide ini. Dengan memboikot syarikat-syarikat yang membantu kezaliman Israel,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata perhimpunan seumpama itu akan terus diadakan dari semasa ke semasa selagi kezaliman terhadap rakyat Palestin berterusan.
Hari Nakba bermaksud hari kecelakaan, merujuk kepada 15 Mei 1948 apabila lebih 750,000 rakyat Palestin melarikan diri atau diusir dari kampung halaman mereka oleh tentera Israel yang menceroboh.
Mereka dipaksa melarikan diri ke negara jiran seperti Jordan, Syria serta Iraq dan dihalang daripada kembali semula.
Hari berkenaan secara umum disambut pada 15 Mei.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial