WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GABUNGAN BAKAT TEMPATAN, IMPORT KUNCI JADIKAN LIGA LEBIH KOMPETITIF - GIGGS

17/05/2025 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Legenda Manchester United Ryan Giggs percaya gabungan seimbang antara bakat tempatan dan luar negara merupakan kunci untuk menjadikan liga bola sepak, khususnya di Malaysia lebih kompetitif.

Mengambil Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai contoh, bekas pemain kebangsaan Wales itu berkata perkembangan EPL cukup ketara dengan banyak pasukan kini mempunyai keupayaan setanding dan menjadikan saingan lebih seimbang.

“Saya rasa kehadiran pemain luar negara sangat membantu kerana kita boleh belajar pelbagai perkara daripada mereka.

“Begitu juga pemain luar negara boleh belajar daripada pemain tempatan tentang makna dan nilai menjadi sebahagian daripada sesebuah kelab,” katanya pada sidang akhbar mempromosikan Piala Cabaran Maybank 2025 di sini hari ini.

Piala Cabaran Maybank 2025 bakal menyaksikan pertembungan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 28 Mei.

Selain itu, beliau turut meluahkan rasa teruja untuk kembali ke Malaysia selepas lawatan terakhirnya pada 2009 bersama Manchester United ketika menentang Malaysia XI di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Giggs berkata beliau berada di Malaysia selama dua hari, termasuk menghadiri klinik bola sepak di Lalaport esok dan menyertai sesi ramah mesra bersama peminat pada hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents selaku penganjur Piala Cabaran, Julian Kam berkata kehadiran Giggs ke Malaysia memberikan suntikan semangat besar yang menjai detik bersejarah dalam arena bola sepak serantau.

Pada majlis itu, Julian turut mengumumkan pihak penganjur akan menghadiahkan 528 jersi edisi khas Final Liga Europa UEFA Manchester United menerusi cabutan bertuah kepada peminat yang membeli tiket dalam semua kategori.

“Ia adalah cara kami menghargai sokongan peminat dan menambah kelainan yang istimewa kepada acara sukan terbesar tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan