PETALING JAYA, 17 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan Joel Cornelli menyifatkan dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Bhutan dan Hong Kong, serta dua aksi berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai persiapan ideal menjelang tugasan pertamanya pada pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2026 di Dushanbe, Tajikistan.
Beliau berkata perlawanan akan datang ini penting untuk beliau menilai keupayaan anak buahnya selain menerapkan falsafah bola sepaknya sebelum berangkat ke Tajikistan pada Jun ini.
“Ini akan menjadi minggu latihan penting untuk saya mengenali para pemain dan mula menerapkan falsafah serta model permainan saya bersama pasukan.
“Bhutan dan Hong Kong bukan dalam kumpulan kelayakan kita, tapi amat penting untuk melihat keupayaan pasukan kita kerana ini sahaja jendela perlawanan yang tersedia,” katanya kepada pemberita pada majlis pembukaan Pusingan Kelayakan Liga Puteri 2025 di Padang PKNS di sini hari ini.
Skuad Malayan Tigress dijadualkan berdepan Bhutan pada 31 Mei diikuti Hong Kong pada 4 Jun, sebelum berdepan UAE pada 20 dan 22 Jun.
Menurut Cornelli, menerusi perlawanan persahabatan ini, beliau akan dapat mengenal pasti kelemahan pasukan khususnya di bahagian serangan dan penyudah.
“Saya telah menonton video perlawanan membabitkan skuad negara menentang Indonesia, Kemboja pada Ogos dan Arab Saudi, dan kita tidak banyak menjaringkan gol.
“Sudah tentu kita perlu melihat perkara ini semasa perlawanan persahabatan supaya dapat mengenal pasti posisi terbaik untuk para pemain dan memahami kelemahan kita,” katanya.
Pada aksi Kelayakan Piala Asia AFC Wanita, Malaysia diletakkan dalam kumpulan sukar iaitu Kumpulan H bersama juara tiga kali Korea Utara.
Malaysia juga akan berdepan Palestin dan Tajikistan yang akan menjadi tuan rumah pusingan kelayakan pada 23 Jun hingga 5 Julai.
Hanya juara kumpulan akan layak ke final yang akan berlangsung di Australia pada 1 hingga 21 Mac tahun depan.
Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia Wanita ialah pada 1995 iaitu ketika menjadi tuan rumah. Pencapaian terbaik pasukan kebangsaan dalam kejohanan itu ialah meraih tempat ketiga pada edisi 1983 di Thailand.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial