WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERJASAMA MALAYSIA-RUSIA DALAM BIDANG SAINS, PENDIDIKAN TINGGI AKAN DIPERLUAS - ZAMBRY

17/05/2025 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kerjasama Malaysia-Rusia dalam bidang sains serta pendidikan tinggi akan terus diperluas pada mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) ke-4 di Langkawi pada November tahun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam hantaran di platform X berkata kerjasama Malaysia-Rusia dalam aspek itu sudah bermula sejak kedua-dua negara bersetuju membentuk JC-ESTC pada 2015.

“Tahun 2024, saya dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia telah mempengerusikan bersama mesyuarat JC-ESTC ini dan pelbagai penambahbaikan kita kenal pasti terutama dalam proses menambah bilangan pelajar datang ke kedua-dua negara, kerjasama penyelidikan pensyarah, aspek perdagangan, kebudayaan dan juga pelancongan,” katanya.    

Zambry berkata beliau membangkitkan perkara itu dalam ucapannya yang bertajuk Topical issues of developing cooperation between Russia and the countries of the Islamic world in the field of science and higher education in the context of a multipolar world order di Forum Ekonomi Antarabangsa ke-16 Rusia-Dunia Islam (KazanForum 2025) baru-baru ini.

Beliau adalah antara delegasi Malaysia yang menyertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi empat hari ke Rusia atas jemputan Presiden Vladimir Putin bermula 13 Mei lepas dan berakhir hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan