WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HARGA MSM DIJANGKA KEKAL RM3,750-RM4,050 SATU TAN SEBELUM PULIH - MPOC

20/05/2025 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal dalam julat RM3,750 hingga RM4,050 satu tan pada Mei sebelum kembali pulih secara beransur-ansur, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Jangkaan julat harga itu juga dipengaruhi oleh pasaran minyak sayuran global yang lemah selain kekurangan pemangkin kukuh serta kelemahan harga tenaga yang terus memberi tekanan ke atas margin biodiesel di seluruh negara pengeluar utama.

“Bagaimanapun, bagi tempoh Jun hingga September, permintaan terhadap import minyak sayur global dijangka beralih dengan memihak kepada minyak sawit, sekali gus mengekang tekanan penyusutan harga.

“Pasaran minyak sayur dan tenaga telah mengalami ketidaktentuan sejak dua bulan lepas, didorong oleh ketegangan Amerika Syarikat dan China yang meruncing selain keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah mulai Jun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harga minyak sawit telah merosot 18 peratus sejak April lepas, harga minyak soya menokok sebanyak tujuh peratus manakala harga minyak mentah turun mendadak 20 peratus bagi tempoh sama.

MPOC berkata pengeluaran minyak sawit Malaysia mencatat peningkatan ketara pada April iaitu pertambahan sebanyak 298,000 tan berbanding bulan sebelumnya, disokong oleh aktiviti tuaian yang tertangguh pada awal Mac berikutan musim tengkujuh.

Peningkatan pengeluaran pada April pula berkemungkinan besar akan disusuli dengan kenaikan menyederhana pada Mei hingga September, disebabkan terutamanya oleh kesan asas yang tinggi.

Seiring dengan peningkatan pengeluaran, stok simpanan minyak sawit juga meningkat 303,000 tan iaitu paras tertinggi dalam tempoh enam bulan.

“Usaha pengumpulan stok simpanan itu didorong terutamanya oleh prestasi eksport yang suram pada Mac dan April.

“Negara sub-Sahara Afrika kekal menjadi destinasi utama bagi eksport minyak sawit Malaysia dengan kenaikan 24 peratus dalam tempoh empat bulan pertama 2025. Rantau ASEAN pula mencatat pertumbuhan lapan peratus manakala eksport ke benua lain susut,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan