IPOH, 21 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila keretanya diserang sekumpulan gajah ketika memandu di Kilometer 11, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dalam kejadian pada 8.15 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.36 malam daripada pemandu berusia 38 tahun.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati pemandu dari arah Jeli ke Gerik telah ternampak sekumpulan gajah sedang melintas lalu memberhentikan kenderaan dan mematikan lampu.
“Namun, dia terdengar bunyi hon dari kenderaan di belakang dan secara tiba-tiba tiga ekor gajah menghampiri keretanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata pemandu tersebut bertindak keluar dari keretanya untuk menyelamatkan diri sebelum membuat laporan polis selepas gajah berkenaan beredar.
Beliau berkata akibat kejadian itu, kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan belakang serta di sisi kanan dan kiri, namun pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah kereta dalam keadaan rosak yang dipercayai diserang sekumpulan gajah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial