WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LELAKI MAUT KERETA TERBABAS DI JALAN PANTAI, PORT DICKSON

21/05/2025 09:41 PM

PORT DICKSON, 21 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki maut apabila kereta pacuan empat roda dipandunya terbabas dalam kemalangan di kilometer 2.8 Jalan Pantai di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata dalam kejadian 2.30 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Beliau berkata seorang penumpang hadapan berusia dalam lingkungan 30-an pula mengalami kecederaan ringan.

“Siasatan awal mendapati, mereka dalam perjalanan dari arah Port Dickson ke Kuala Lumpur. Setiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan terbalik serta berpusing beberapa kali, sebelum merempuh sebatang tiang elektrik sehingga patah.

“Kereta itu turut terbabas dan melanggar pagar. Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak keluar dan tersangkut pada wayar,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Maslan berkata pemandu didapati tiada lesen memandu dan mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala cukai jalan dan insurans kenderaan yang dipandunya masih aktif.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan