WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEMAKIN JARANG DIJUMPAI, KAMBING KATJANG BERPOTENSI PERKUKUH KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

23/05/2025 12:17 PM


From Nina Muslim

Di satu sudut sebuah kandang kayu di ladang ternak di sini, sekumpulan lima ekor kambing berhimpit sesama sendiri dalam keadaan takut-takut tatkala Kamaruzaman Budin berjalan perlahan-lahan ke arah mereka. 

Berwarna hitam, coklat dan hitam bercampur coklat, tiga daripada kambing tersebut bertelinga pendek serta bertubuh kurus, namun ciri paling ketara ialah saiznya yang jauh lebih kecil berbanding kambing di kandang sebelah dengan sesetengahnya lebih tinggi daripada pagar yang menghadang.

Menudingkan jari ke arah seekor kambing berwarna coklat  dengan garisan hitam di sepanjang tulang belakangnya, sebelum beralih kepada dua ekor lagi,  Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Kamal, 67, memberitahu Bernama: “Yang ini (kambing) Kacang. Satu, dua, tiga (kambing) Kacang.”

Dia baru saja membeli lima ekor kambing itu daripada penternak lain yang mendakwa haiwan tersebut ialah baka Katjang tulen, atau dipanggil Kacang oleh penduduk setempat, dan merupakan satu-satunya kambing baka asal Malaysia.

Bagaimanapun Kamal mendapati dua daripada kambing tersebut menunjukkan ciri-ciri hibrid, sementara yang lain pula mungkin baka tulen. Namun itu hanya akan diketahui secara pasti selepas melalui ujian DNA oleh saintis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang kini sedang mencari dan membeli kambing Katjang dari seluruh Malaysia.

Akan tetapi, dia menganggap dirinya bertuah kerana dapat membeli kambing Katjang atau nama saintifiknya Capri aegagrus hircus, kerana baka itu semakin jarang ditemukan.

”Katjang ni tak besar. Jadi, orang tak berapa minat (untuk ternak). (Mereka lebih hendak baka dari luar) sebab besar (dan) nisbah daging pun bagus ,” jelasnya.  “Apa (yang) baiknya Katjang ni, dia tahan lasak dan kurang berpenyakit.”

Daya tahan penyakit kambing itu yang selama ini diambil mudah, kini menjadi isu kepentingan nasional.

Selepas berdekad melalui proses kacukan tanpa kawalan dengan baka kambing import, Katjang kini berdepan kepupusan akibat pencemaran genetik. Dalam situasi Malaysia sedang bergelut dengan isu keterjaminan makanan, perubahan iklim dan peningkatan kos import, daya tahan semula jadi baka Katjang mungkin menjadi kunci kepada jalan keluar.

Para saintis kini berlumba-lumba untuk menyelamatkan baka ini dengan menggunakan kaedah tradisional serta teknologi DNA moden dalam usaha pemuliharaannya.

 

KAMBING TAHAN LASAK

Sebelum ketibaan daging sejuk beku dan ladang ternakan industri di negara ini, kambing Katjang merupakan pemandangan biasa di kampung-kampung. Penternak hanya membiarkan haiwan ini meragut di tepi jalan, padang atau hutan. Tahan lasak serta tidak cerewet makan serta boleh tidur di mana-mana sahaja, haiwan ini telah berevolusi selama ribuan tahun untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan lembap di Malaysia serta penyakit yang ada.

“Ada sebab Katjang wujud di sini, menjadi baka asal di sini. Kambing ini yang terbaik di sini,” kata Dr Ainu Husna M. S. Suhaimi, pegawai penyelidik utama Program Teknologi Lanjutan dan Reproduktif di MARDI. “Sekarang di Malaysia, kita mula sedar bahawa haiwan tempatan kita masih yang paling mampan.”

Ciri fizikal kambing Katjang sangat ketara.Selain daripada saiznya yang kecil, kambing ini mempunyai bulu hitam dan/atau coklat gelap yang licin, telinga pendek menegak dan meruncing, serta tanduk lurus yang juga menegak dan meruncing. Kambing jantan dewasa biasanya mempunyai berat tidak sampai 30 kilogram, jauh lebih ringan berbanding kambing import seperti Boer atau Jamnapari yang boleh mencecah dua kali ganda saiz tersebut. Walaupun baka ini sangat subur dan kerap melahirkan anak kembar, pengeluaran susu hanya cukup untuk anak-anaknya. Kambing ini juga mengambil masa lebih lama untuk membesar sepenuhnya dan tidak mempunyai banyak daging.

Disebabkan oleh kekurangan-kekurangan itu yang dikatakan tidak menguntungkan, Katjang dipinggirkan secara beransur-ansur. Kamal masih ingat ketika dia memulakan ladang ternakannya pada 1985. Ketika itu dia hanya menternak Katjang. Kemudian, perlahan-lahan tumpuan beralih kepada kambing yang lebih berdaging, dan bermula 2004 kambing Boer dengan saiz yang lebih besar dan daging yang banyak diimport masuk dari Afrika Selatan dan Australia. Namun baka ini ada satu kelemahan ketara, iaitu tidak dapat menyesuaikan diri dengan iklim Malaysia, menyaksikan kadar kematian 20 peratus, menurut MARDI. 

“Kalau kita tanya petani sekarang, apa yang mereka mahukan ialah kebolehupayaan untuk hidup. Jadi, haiwan tempatan adalah yang paling tahan lasak dan mudah menyesuaikan diri. Kita tahu memang ada permintaan untuk baka tempatan, tetapi saiznya kecil,” tambah Ainu Husna.

Untuk mengimbangi perkara ini, kerajaan pada ketika itu menggalakkan penternak mengacukkan baka import tersebut dengan kambing Katjang yang tahan lasak. Pada awalnya, pembiakan silang kelihatan seperti satu kejayaan. Kambing hibrid membesar dengan lebih cepat dan lebih besar serta boleh dijual pada harga lebih tinggi. Namun, lama-kelamaan, akibat ketiadaan program pembiakan yang sistematik, kumpulan genetik Katjang menjadi semakin lemah. Mana-mana kambing Katjang tulen yang masih ada digunakan berulang kali, menyebabkan pembiakbakaan dalam (inbreeding) dan menghasilkan kambing yang lebih kecil serta tidak sihat.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dari 2001 hingga 2002, kambing Katjang telah diklasifikasikan sebagai berisiko untuk pupus, manakala statusnya disenaraikan sebagai “tidak diketahui” oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO). Beberapa baka ternakan tempatan lain juga menghadapi risiko kepupusan, termasuk lembu KK (Kedah-Kelantan) sementara satu lagi baka mungkin telah pupus. MARDI percaya bahawa biri-biri asal Malin (Ovis aries) telah pupus sebagai satu baka.

Lebih dua dekad kemudian, jumlah kambing Katjang yang masih ada di negara ini tidak diketahui. MARDI memiliki kira-kira 100 ekor kambing Katjang di ladangnya di Kluang, Johor, dan para penyelidiknya juga menjalankan usaha berterusan untuk mencari serta mendapatkan lebih banyak lagi baka itu. 

 

KAMBING KECIL PERANAN BESAR

Sepintas lalu, usaha menyelamatkan Katjang mungkin kelihatan pelik kerana ia haiwan ternakan, dipelihara untuk dimakan. Lagipun, kalau satu baka kambing pupus, Malaysia boleh dapatkan kambing dari tempat lain. Namun kata pakar, isu tersebut tidak semudah itu.

Industri kambing di Malaysia ini kecil namun pasarannya konsisten, terutama dalam kalangan umat Islam dan penganut Hindu. Umat Islam menyembelih kambing sebagai korban dan dagingnya diagihkan semasa sambutan Aidiladha atau majlis akikah, iaitu majlis kesyukuran kelahiran anak. Sementara bagi penganut Hindu yang diharamkan memakan daging lembu, memilih kambing sebagai sumber daging merah mereka. 

Pada 2023, penggunaan daging kambing dan biri-biri telah meningkat kepada 1.4 kg per kapita berbanding 1.0 kg pada 2022, manakala kadar sara diri Malaysia bagi daging tersebut ialah 8.7 peratus, menurun daripada 10.7 peratus pada tahun sebelumnya. Malaysia membelanjakan RM8.5 juta untuk mengimport kambing hidup dan RM18.62 juta untuk biri-biri hidup pada 2023, serta RM772.4 juta bagi daging kambing dan biri-biri segar, sejuk beku dan terproses. Penganalisis pasaran meramalkan daging kambing akan menjadi semakin popular dalam dekad akan datang kerana lebih ramai orang akan mahukan daging itu atas faktor rendah lemak dan manfaat pemakanan lain.

Bergantung pada import untuk memenuhi permintaan makanan menjadikan Malaysia mudah terdedah kepada kejutan dalam rantaian bekalan, seperti yang ditunjukkan oleh pandemik COVID-19, perang di Ukraine dan baru-baru ini, ketegangan antara India-Pakistan. Sementara itu, pengeluaran kambing tempatan terjejas akibat kos makanan ternakan yang tinggi, perbelanjaan veterinar yang mahal serta kadar kematian yang tinggi.

Ahli genetik ekologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shairah Abdul Razak memberitahu Bernama bahawa industri ternakan di Malaysia terlalu menumpukan pada keuntungan dan hasil daging yang tinggi, tanpa mengambil kira isu seperti kesan perubahan iklim terhadap ternakan.

“Kalau kita bawa masuk, contohnya biri-biri yang banyak daging dari negara beriklim sederhana, bolehkah mereka tahan panas? Adakah kita nak sediakan alat penyejuk sepanjang masa mereka berada dalam kandang?” katanya.

“Dari segi nutrien, antara perkara penting tentang baka tempatan ialah mereka tidak terlalu memilih (makanan),” tambahnya.

Para penyelidik bimbang kambing Katjang akan mengalami nasib yang sama seperti biri-biri Malin, yang dikenali dengan bulu kasar berwarna coklat muda dan dipercayai telah pupus akibat pembiakbakaan silang berlebihan. Namun begitu, Shairah berpendapat mungkin masih ada beberapa ekor biri-biri Malin tulen di Perak dan Pahang.

“Menyelamatkan baka ternakan tempatan ini adalah satu bentuk – saya suka gunakan perkataan insurans, anda mungkin tak nampak manfaatnya sekarang, tetapi anda kena fikir untuk jangka masa panjang. Kita mahukan daya tahan dan kemampanan untuk jangka panjang,” tambahnya.

Penyelidik dan pakar genetik DVS Dr Ernie Muneerah Mohd Adnan sependapat.

“Kambing Katjang mungkin tidak setanding dengan baka import dari segi saiz atau pengeluaran daging, namun, dalam konteks perubahan iklim, penyesuaian kepada perubahan-perubahan iklim ini mungkin menjadi kritikal untuk masa depan industri ternakan Malaysia,” katanya dalam e-mel kepada Bernama.

FAO melaporkan bahawa hingga Mac 2018, daripada 7,745 baka ternakan pertanian tempatan yang disenaraikan sebanyak 594 telah pupus, manakala 26 peratus dikategorikan sebagai “berisiko untuk pupus” dan 67 peratus lagi berstatus “tidak diketahui.” Sekiranya baka-baka ini lenyap, maka akan turut hilang ciri-ciri genetik yang diperlukan bagi penyesuaian dengan persekitaran dan realiti ekonomi yang baharu.

 

JALAN TENGAH

Asas misi pemuliharaan kambing Katjang terletak pada usaha mengesan dan mengumpul DNA kambing Katjang tulen yang kini kian hebat dijalankan. Projek ini menggabungkan kerja lapangan dan penternakan secara tradisional dengan kaedah pembiakan moden serta sains genetik.

Pasukan Ainu Husna menjelajah kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia, melawat ladang ternakan dan perkampungan Orang Asli. Apabila mereka menjumpai haiwan yang kelihatan berpotensi, iaitu sesuatu yang jarang berlaku, mereka biasanya akan membeli haiwan tersebut untuk ladang mereka di Johor, mengumpul sampel dan menyusun jujukan genomnya bagi mengenal pasti penanda genetik.

Haiwan yang mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki akan digunakan dalam pembiakan terpilih dengan baka lain, dengan harapan dapat menghasilkan kacukan Katjang yang lebih besar dan berdaging, namun masih tahan cuaca panas dan kebal terhadap penyakit.

“Kami putuskan yang kami perlukan apa yang dipanggil tengah-tengah,” katanya. “Kini kami sedang membangunkan kacukan tulen Katjang-Boer atau Boer yang telah ‘diMalaysiakan’. (Untuk itu) kami perlukan Katjang tulen.”  

Program pembiakan silang terpilih ini menggunakan kaedah pembiakan semula jadi dan juga secara buatan, dengan menggunakan air mani atau ovum yang disimpan dalam nitrogen cecair. Secara umumnya, Ainu Husna berkata MARDI lebih gemar menggunakan kaedah pembiakan semula jadi kerana kadar kejayaannya lebih tinggi, iaitu sekitar 80 peratus. Namun, jika kaedah itu tidak dapat digunakan, penyelidik akan menggunakan kaedah permanian beradas atau IVF.  Selain itu, DVS juga mempunyai biobank yang menyimpan sampel sperma Katjang.

Bekalan kambing Katjang tulen perlu dipastikan sentiasa tersedia bagi memperkukuh semula susunan genetik Boer yang telah “diMalaysiakan” selepas beberapa generasi.

Proses ini mahal dan mengambil masa, tetapi boleh melindungi baka tersebut serta memastikan keterjaminan makanan negara dalam jangka masa panjang.

“Kita mungkin tidak nampak cabarannya sekarang, tetapi seiring dengan peredaran waktu, kita mungkin berdepan dengan sesuatu yang kita tidak bersedia untuk hadapi pada masa akan datang jika kita tidak lakukan persiapan ini,” kata Shairah yang juga pensyarah kanan di UKM.

 

TIADA KESEDARAN

Di sebalik kepentingannya,  projek pemuliharaan kambing Katjang berdepan dengan pelbagai halangan. Para penyelidik memberitahu Bernama bahawa mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan atau kerjasama bagi usaha pemuliharaan kerana orang ramai, termasuk para penternak, tidak memahami kepentingan menyelamatkan baka ternakan tempatan.

Tanpa insentif kewangan atau permintaan pasaran terhadap kambing Katjang tulen, kebanyakan penternak kecil tidak akan memilih kambing bersaiz kecil dan lambat membesar berbanding kambing import yang lebih berdaging.

“Penternak selalunya mendapati baka import atau kacukan lebih menguntungkan berbanding membela kambing Katjang tulen,” kata Dr Ernie Muneerah.

Ada pihak mencadangkan penternak diberikan subsidi untuk tidak mengacukkan kambing Katjang mereka selain mewujudkan daftar penternak yang memelihara Katjang tulen untuk membolehkan pertukaran bagi tujuan pembiakan. Pada masa sama, semua mahu jurang antara saintis dan penternak dirapatkan selain menggalakkan penternak memanfaatkan sumber tersedia seperti MARDI dan DVS untuk membiakkan ternakan mereka. 

Sementara itu, di bawah sinar matahari petang di ladang ternak tersebut, Kamal menuang sebaldi makanan ke dalam palung biru. Kambing-kambing itu datang untuk makan sambil saling menyondol lembut. Dia merenung sejenak, memerhati kelakuan haiwan tersebut.

“Kita tengok, kalau dari segi penyakit, memang senang dibela (sebab) tak banyak penyakit. Kalau ada perubahan (iklim atau) apa-apa, saya ingat, Katjang memang akan dapat bertahan,” kata Kamal.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan