WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELANJAWAN 2026 SEIMBANG, DIPACU PEMBAHARUAN DAN BERPANDANGAN JAUH - INSTITUSI KEWANGAN

10/10/2025 11:45 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Beberapa institusi kewangan berpendapat bahawa Belanjawan 2026 sebagai pelan yang seimbang, dipacu pembaharuan dan berpandangan jauh yang mengukuhkan disiplin fiskal dan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan dalam sektor strategik di bawah rangka kerja MADANI.

Belanjawan dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-13 dan memberi tumpuan kepada pelaburan bernilai tinggi, pertumbuhan tinggi, menandakan peralihan ke arah pembangunan didorong kualiti penting untuk mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OCBC Bank (Malaysia) Bhd Tan Chor Sen memuji visi berani kerajaan untuk kepimpinan ekonomi merentas sempadan terutamanya melalui inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Grid Tenaga ASEAN dan status Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) yang baharu diperkenalkan.

Menerusi kehadiran dan ketersambungan kukuh bank itu merentasi ASEAN dan China, OCBC Bank berada pada kedudukan baik untuk menyokong perniagaan yang mahu berkembang ke pasaran antarabangsa.

"Pengenalan skim pembiayaan hijau, Cukai Karbon yang bakal dilaksanakan dan sokongan terhadap inovasi kecerdasan buatan (AI) sangat selari dengan keutamaan kami di OCBC Malaysia. Kami secara aktif menggalakkan penggunaan AI dalam kalangan kakitangan dan kekal komited untuk memajukan pelaburan yang selaras dengan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Novan Amirudin berkata bank itu menyambut baik tumpuan kerajaan dalam memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) melalui akses pembiayaan diperluaskan menerusi kemudahan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd dan Bank Negara Malaysia.

“Langkah-langkah ini akan membantu mempercepatkan penggunaan automasi dan pendigitalan, bidang di mana CIMB terus memperjuangkan melalui cadangan CIMB OCTO Biz dan SMEBizReady yang direka untuk menyokong skala perniagaan secara mampan,” katanya.

Sebagai peneraju kewangan Islam terkemuka, Novan berkata CIMB juga menyokong penekanan kerajaan terhadap pengukuhan ekosistem kewangan Islam.

Peruntukan kerajaan sebanyak RM5.9 bilion untuk Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDCI), selain daripada Geran Pecutan Digital Malaysia RM53 juta untuk mempercepatkan penggunaan blockchain mencerminkan komitmen kukuh untuk membina ekonomi kalis masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia Mak Joon Nien pula berkata aset digital adalah bahagian penting dalam masa depan perkhidmatan kewangan.

"Kami komited untuk melabur dalam infrastruktur dan bakat yang diperlukan untuk menjadi peneraju dalam skop ini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata insentif bersasar untuk sektor seperti semikonduktor, teknologi canggih, farmaseutikal dan inovasi hijau akan mengukuhkan rantaian bekalan, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan menarik pelaburan berkualiti.

“Sokongan untuk PKS kekal penting dengan RM50 bilion diperuntukkan untuk pembiayaan, jaminan dan program untuk pendigitalan dan pelaburan hijau.

"UOB Malaysia kekal komited untuk membolehkan pertumbuhan PKS dan memacu kemajuan yang inklusif dan mampan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Jamie Ling berkata peruntukan dalam Belanjawan 2026 untuk sektor Pertumbuhan Tinggi Nilai Tinggi (HGHV) terutamanya semikonduktor, tenaga boleh boleh baharu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) dipacu AI bertujuan untuk menyokong keutamaan pelan induk berkaitan Ekonomi MADANI.

"Dasar ini amat penting dalam memastikan ekonomi mencapai sasaran RM2 trilion menjelang 2030.

"Penekanan Belanjawan 2026 terhadap sektor perkhidmatan akan mendapat manfaat daripada penggunaan pendigitalan yang lebih tinggi melalui insentif cukai automasi, pengembangan kewangan Islam dan prospek pelancongan," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan