WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKAN KUDA LASAK UMK BUKA RUANG LATIH USAHAWAN MUDA

11/10/2025 09:14 PM

BACHOK, 11 Okt (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkukuh inisiatif melahirkan pelajar yang berdaya saing dan berjiwa keusahawanan menerusi penganjuran Kejohanan Sukan Kuda Lasak (UMK Cup) 2025. 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Dr Mohammad Ismail berkata penganjuran kali ini mendapat sambutan luar biasa, menyaksikan penyertaan 112 peserta dari seluruh negara termasuk Terengganu dan Kedah, berbanding hanya 80 penyertaan ketika penganjuran Sprint 2023.

"Antara objektif utama program itu adalah untuk melatih pelajar mengurus dan menganjurkan program berskala besar secara profesional dengan bimbingan pensyarah dan pihak universiti," katanya kepada pemberita selepas kejohanan di Pantai Kandis di sini hari ini.

Beliau berkata di bawah pelan strategik UMK30 ia mengandungi 14 langkah yang menekankan aktiviti sukan lasak sebagai sebahagian daripada pembangunan sahsiah dan kesejahteraan komuniti kampus.

Penganjuran sukan kuda lasak itu turut membuka ruang keusahawanan kepada pelajar dalam bentuk jualan gerai, penajaan serta peluang pendapatan.

Mohammad berkata berdasarkan sambutan memberangsangkan tahun ini, pihaknya merancang menjadikan UMK Cup sebagai acara tahunan dan program yang menjadi penanda aras universiti.

“Kita lihat potensi sukan ini sangat besar, ia bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi boleh menjadi produk pelancongan dan tarikan baharu ke Kelantan. Insya-Allah, kita akan teruskan pada tahun hadapan dengan skala yang lebih besar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan