WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR AKAN RASMI FORUM PERNIAGAAN TENAGA ASEAN KE-25 DI KUALA LUMPUR

13/10/2025 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25), dialog yang paling penting di rantau ini mengenai masa depan tenaga ASEAN.

Pelancaran awal bagi acara yang akan diadakan di sini dari 15 hingga 17 Okt, 2025 sempena kepengerusian ASEAN 2025 itu akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kepentingan global AEBF-25 itu diserlahkan dengan penyertaan Ketua Pengarah Bank Pembangunan Asia (ADB), Hideaki Iwasaki, yang akan membentangkan kerangka pembiayaan untuk transformasi tenaga ASEAN.

AEBF-25 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu mengangkat tema “Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity” dan menghimpunkan kalangan Menteri Tenaga ASEAN dan ketua pegawai eksekutif global di platform unik untuk membentuk masa depan tenaga rantau ini.

“Peningkatan daripada dialog peringkat serantau kepada platform global ini memberikan isyarat jelas bahawa ASEAN tidak lagi hanya mengambil bahagian dalam peralihan tenaga, malah juga bertekad untuk menjadi jurubinanya,” menurut AEBF dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang 25 tahun lepas, AEBF menjadi acara tenaga utama Asia Tenggara, berperanan sebagai pemangkin inovasi dasar, janji niaga perniagaan dan kerjasama rentas sempadan, dianjurkan oleh Pusat Tenaga ASEAN (ACE) dan disokong oleh Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM).

Pengerusi AEBF-25, Andy Tirta berkata selama suku abad, forum itu telah menjadi pentas bagi pembentukan dasar tenaga serantau.

“AEBF-25 amat luar biasa. Tahun in, kita mula menyebar luas Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030 dengan mengambil langkah nyata untuk mengukuhkan kesambungan tenaga serantau, dengan sejumlah besar rakan kongsi dan penyewa yang memacu kerjasama di seluruh ASEAN,” katanya.

AEBF-25 akan menampilkan tokoh tenaga global terkemuka, termasuk Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia serta Setiausaha Tenaga Filipina, Sharon Garin, yang akan membentangkan visi tenaga bersama Asia Tenggara.

Tokoh utama industri yang bertanggungjawab melaksanakan visi tenaga rantau turut ditampilkan termasuk Pengerusi UEM Lestra Bhd merangkap Pengarah Urusan UEM Group Bhd Datuk Amran Hafiz Affifudin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd Datuk Megat Jalaluddin Megat Hasan, Pengarah Urusan Gamuda Engineering Justin Chin serta Ketua Pegawai Strategi dan Pertumbuhan Gamuda Australia, Jarred Hardman.

Forum itu juga akan menyaksikan pengumuman komitmen kewangan berbilion ringgit untuk infrastruktur hijau ASEAN, dengan Grid Tenaga ASEAN sebagai keutamaan paling penting serta inisiatif pembiayaan baharu dan kerjasama perniagaan yang bertujuan mempercepat transformasi tenaga lestari rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan