WILAYAH - TENGAH > BERITA

BNM GUNA PAKAI MYOR-I SEBAGAI KADAR PENANDA ARAS ISLAM MANDATORI MULAI 1 JULAI 2027

13/10/2025 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengguna pakai Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) sebagai kadar rujukan mandatori bagi semua produk kewangan Islam mulai 1 Julai, 2027.

Langkah itu sekali gus menandakan satu pembaharuan struktur yang besar dalam landskap kewangan Islam Malaysia.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata MYOR-i, kadar penanda aras Islam pertama di dunia yang berasaskan transaksi, akan menerapkan ketelusan, konsistensi dan penjajaran syariah ke dalam teras kewangan Islam.

“Ini bukan sekadar pelarasan teknikal, ini merupakan satu transformasi struktur,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025 di sini, hari ini.

GIFF 2025 dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Abdul Rasheed berkata langkah itu adalah sebahagian daripada lima pembangunan utama yang sedang diusahakan Malaysia untuk memajukan ekosistem kewangan Islam, yang bertujuan meningkatkan struktur perkongsian risiko, menggalakkan pembangunan inklusif, memperkukuh kesalinghubungan global dan membangunkan bakat.

Beliau berkata inisiatif pertama adalah menggalakkan penstrukturan semula kewangan secara berimpak dengan memperluas penggunaan struktur perkongsian risiko seperti musharakah dan mudarabah, yang menawarkan cadangan ganjaran risiko yang berbeza daripada transaksi hutang.

“Pelaksanaan i-CITA bulan lepas, disokong oleh dana berjumlah RM100 juta daripada kerajaan untuk menggalakkan inovasi perkongsian risiko, bertujuan menyokong permohonan kontrak syariah yang lebih pelbagai bagi projek berdaya maju dan membawa manfaat besar kepada Malaysia.

“Bagi melengkapi inisiatif ini, kami sedang giat menyemak kontrak syariah dan dasar akaun pelaburan bagi menyediakan persekitaran kawal selia yang lebih kondusif untuk pengantaraan pelaburan,” katanya.

Inisiatif kedua menumpukan kepada takrifan semula pertumbuhan inklusif melalui penyepaduan kewangan sosial Islam dengan sistem kewangan arus perdana.

Beliau memetik program iTEKAD -- dipacu oleh pembiayaan campuran -- sebagai contoh bahawa kejayaan kewangan Islam boleh digerakkan untuk memperkasakan komuniti melalui peningkatan pekerjaan dan kemahiran.

Abdul Rasheed berkata peluasan program itu untuk perlindungan kewangan, yang disokong oleh geran padanan RM5 juta daripada kerajaan bagi sumbangan takaful, membuktikan impak besar daripada kerjasama antara bank, pengendali takaful dan rakan pembangunan.

Dalam masa yang sama, beliau juga menggesa supaya kewangan Islam Malaysia bergerak daripada kejayaan terpilih kepada transformasi sistemik.

“Instrumen telah tersedia, kerjasama juga dibentuk, dan kini masa yang sesuai untuk mempercepat usaha,” katanya.

Inisiatif ketiga ialah usaha Malaysia untuk menjadikan kewangan Islam sebagai keutamaan dalam dua bidang pertumbuhan global -- ekonomi halal dan kewangan mampan.

“Ini bukan pasaran kecil -- dua bidang ini adalah peluang bernilai trilion dolar yang menanti untuk dimanfaatkan,” katanya.

Beliau berkata negara telah meletakkan asas strategik bagi kesalinghubungan global melalui Majlis Kepimpinan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

“Pelaksanaan yang lebih baik oleh pihak industri kini menjadi keutamaan, sebab itu BNM menyokong penubuhan Jaringan Perniagaan MIFC (MBN) sebagai fasa peralihan Majlis Kepimpinan MIFC seterusnya,” katanya.

Abdul Rasheed berkata sembilan penggiat industri daripada perbankan, takaful, pasaran modal dan perkhidmatan sokongan telah bersetuju menjadi ahli pengasas MBN, dan jemputan untuk penyertaan lebih meluas akan diumumkan tidak lama lagi.

Inisiatif kelima dan terakhir, yang berkait dengan pengenalan kadar penanda aras baharu, melibatkan usaha memperkukuh persediaan bakat dan ekosistem inovasi.

“Institusi seperti Universiti INCEIF sedang berkembang melangkaui bidang pendidikan kepada enjin inovasi, dengan menerapkan maqasid syariah ke dalam kerangka ekonomi dan dasar.

“Di peringkat serantau, IBFIM sedang memperkasakan kapasiti melalui Kelayakan Bersekutu Dalam Kewangan Islam (AQIF) yang kini disesuaikan untuk pasaran ASEAN termasuk Brunei, Indonesia, Filipina dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata keperluannya adalah jelas -- sekiranya mahu kewangan Islam menerajui, semua pihak perlu melabur untuk membina dan memupuk bakat yang memiliki visi, mereka bentuk dan merealisasikan masa depan.

Industri kewangan Islam global dijangka bernilai lebih US$9.7 trilion (US$1=RM4.23) menjelang 2029 justeru, usaha itu tidak boleh hanya ditentukan oleh skala semata-mata namun mesti disokong oleh perkara yang penting, kepimpinan dan inovasi yang berteraskan matlamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan