WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIDANG KEMUNCAK ASEAN: KESUMA GALAK PELAKSANAAN ATURAN KERJA FLEKSIBEL DI SEKTOR SWASTA

14/10/2025 03:57 PM

PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- Majikan di sektor swasta digalakkan untuk mempertimbangkan pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) sempena pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN pada hujung bulan ini.

AKF diperkenalkan di bawah pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) berkuat kuasa pada 1 Jan 2023 dan menerusi peruntukan itu, pekerja sektor swasta berpeluang memohon AKF bagi menyesuaikan waktu, hari atau lokasi bekerja tanpa menjejaskan keperluan operasi dan produktiviti organisasi.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan melalui peruntukan Seksyen 60P dan 60Q di bawah Akta 265, pekerja boleh memohon AKF kepada majikan masing-masing untuk menyesuaikan waktu, hari atau lokasi bekerja termasuk bagi tempoh tertentu seperti penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dengan mengambil kira keperluan operasi syarikat dan kelangsungan produktiviti.

“Bagi menggalakkan lebih banyak majikan melaksanakan AKF, KESUMA menerusi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) telah memperkenalkan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus ke atas kos pembangunan kapasiti dan perolehan perisian yang ditanggung oleh majikan, tertakluk sehingga RM500,000 bagi permohonan antara 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2027,” menurut KESUMA.

Sebagai sokongan berterusan kepada usaha itu, KESUMA dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan TalentCorp telah menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel yang dirangka secara komprehensif dan boleh diakses di portal rasmi KESUMA, JTKSM dan TalentCorp serta boleh dimuat turun menerusi pautan 

https://www.mohr.gov.my/images/pdf/Garis%20Panduan%20AKF%202024.pdf

Menurut KESUMA, pihaknya turut menyambut baik langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang membenarkan pelaksanaan Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) secara fleksibel bagi penjawat awam dan berpendapat pelaksanaan dasar itu di sektor awam dan swasta mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI yang progresif serta menekankan kesejahteraan pekerja tanpa menjejaskan produktiviti.

“Sehubungan itu, KESUMA menggalakkan majikan sektor swasta mempertimbangkan permohonan AKF oleh pekerja yang terkesan dengan kesesakan aliran trafik sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN 2025, sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh budaya kerja fleksibel dan seimbang,” menurut KESUMA.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan, yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini di Kuala Lumpur, dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan