WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SHAH ALAM KE FASA PEMBANGUNAN BAHARU GUNA PENDEKATAN DATA - DATUK BANDAR

14/10/2025 04:04 PM

SHAH ALAM, 14 Okt (Bernama) -- Bandar raya Shah Alam kini melangkah ke fasa pembangunan baharu dengan pendekatan data, teknologi dan kesejahteraan rakyat.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata melalui Pelan Strategik Smat Shah Alam 2035, perkhidmatan MBSA dapat diperkasakan dengan penggunaan data serta pendigitalan seperti pelaksanaan Smart Integrated Command Centre (SICC), parkir pintar dan pengurusan sisa.

“Pelaksanaan inisiatif ini dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran dalam memastikan Shah Alam kekal sebagai bandar yang responsif, mesra rakyat dan berpaksikan inovasi.

“Malah, agenda bandar rendah karbon juga dibudayakan melalui Rangka Tindakan Bandar Rendah Karbon Shah Alam dengan menumpukan kepada pengurangan jejak karbon, menggalakkan pengangkutan hijau bandar dan amalan tenaga yang diperbaharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Perbandaran Shah Alam 2025 (SAUF 2025) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini yang dirasmikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini.  

Mohd Fauzi berkata untuk itu, SAUF 2025 yang dianjurkan MBSA selama dua hari bermula dari hari ini dilaksanakan untuk merealisasikan hasrat berkenaan dan menjadi antara platform utama membahas perancangan serta pelaksanaan pembangunan yang teratur, mampan, inklusif dan berdaya huni.

Beliau berkata forum itu bertujuan meraikan pencapaian MBSA yang baru sahaja menyambut Ulang Tahun ke-25 Jubli Perak pengisytiharan Shah Alam sebagai sebuah bandar raya pada 10 Okt lepas.

“Program ini merupakan inisiatif pihak MBSA untuk menghimpunkan (lebih kurang 2,000 peserta) pelbagai pihak dalam pelbagai bidang bagi membincangkan isu-isu penting yang berkaitan dengan pembangunan, masyarakat, ekonomi, dan teknologi.

“Dengan tema ‘Bandar Kita, Komuniti Kita’, usaha ini diharapkan dapat menjadikan Shah Alam sebagai model rujukan bagi bandar raya lain dalam melaksanakan pembangunan mampan,” katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan