BATU PAHAT, 14 Okt (Bernama) -- Saryussaqapi Mahmud, 42, menunggu siaran langsung di media sosial hingga 1 pagi semata-mata untuk memastikan sama ada kereta yang terjunam ke dalam Sungai Panchor, Pagoh di Muar petang semalam ialah milik abangnya.
Dia pada awalnya tidak menyangka kejadian itu melibatkan abangnya, Muhammad Husni Mahmud, 47, namun mula berasa tidak sedap hati apabila usaha untuk menghubungi mangsa gagal.
“Pada mulanya saya terima maklumat daripada kenalan mengenai kejadian yang melibatkan sebuah kereta mirip milik arwah. Saya lihat ‘live’ di TikTok dari saat kereta ditemukan sehinggalah mayat berjaya dikeluarkan kira-kira 1 pagi.
“Hanya kereta Proton Saga berwarna hitam kelihatan, nombor pendaftaran tidak jelas. Tidak lama selepas itu, kami sekeluarga terima panggilan daripada pihak polis mengesahkan mayat yang ditemukan ialah abang saya,” katanya ketika ditemui di Taman Bendahara, Kampung Sungai Kajang, hari ini.
Dia berkata kali terakhir mereka berbual pada pagi sebelum kejadian, apabila arwah mengadu sakit dan ayah mereka, Mahmud Talib, 78, menasihatinya supaya mendapatkan rawatan di klinik.
Saryussaqapi berkata abangnya yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik sering mengadu sakit sejak disahkan positif COVID-19 pada 2021 dan dilihat mengalami kemurungan kerana terlalu merindui isterinya, Allahyarham Haniza Rahmat, yang turut meninggal dunia akibat jangkitan virus sama pada tahun yang sama.
Sementara itu, Mahmud berkata selepas dijangkiti COVID-19, arwah mengalami masalah sinus yang serius dan kerap mengadu sakit kepala.
“Dia seorang yang periang, tapi semalam kelakuannya agak pelik. Dia cuma beritahu mahu jumpa kawan, tetapi tidak maklumkan, sedangkan sebelum ini dia akan beritahu lokasi, selalunya di Batu Pahat atau Johor Bahru. Kami tak sangka arwah berada di kawasan Panchor, Muar,” katanya.
Jenazah Muhammad Husni dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Kajang selepas selesai proses bedah siasat di Unit Perubatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam, kereta jenis Proton Saga berwarna hitam yang dipandu mangsa dilaporkan hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam sungai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial