WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AHMAD ZAHID SERU RAKYAT MALAYSIA SOKONG PEMBANGUNAN KEMBOJA

14/10/2025 10:26 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 14 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyeru rakyat Malaysia supaya terus menyokong pembangunan ekonomi Kemboja.

Berucap pada majlis makan malam bersama komuniti Malaysia di ibu negara, beliau berkata rakyat Malaysia merupakan antara pelabur perintis di Kemboja dan telah membina reputasi yang baik dalam kalangan kepimpinan negara itu.

Beliau menggalakkan rakyat Malaysia meneroka sektor berpotensi tinggi seperti makanan halal, kosmetik, insurans, perbankan dan farmaseutikal.

“Rakyat Malaysia seharusnya menjadi jurucakap bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan bekerja sebagai satu pasukan. Kita mesti melindungi imej Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid berada di Kemboja bagi lawatan kerja selama tiga hari dari 13 hingga 15 Okt.

Beliau berada di Phnom Penh untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana ke-13 dan Persidangan Pihak-Pihak kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan ke-14 dan Mesyuarat Berkaitan.

Pada sebelah pagi, beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja Hun Manet di Istana Keamanan serta Presiden Senat Hun Sen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan