WILAYAH - SABAH > BERITA

756 PELAJAR SERTAI KEMPEN INTERNET SELAMAT DI KOTA KINABALU

16/10/2025 12:09 PM

KOTA KINABALU, 16 Okt (Bernama) -- Sebanyak 756 pelajar Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu menyertai program Kempen Internet Selamat (KIS) di kolej itu di sini hari ini sebagai usaha memperkukuh kesedaran terhadap keselamatan siber dalam kalangan generasi muda.

Program anjuran Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, dan bertujuan memupuk budaya penggunaan Internet secara beretika dan bertanggungjawab dalam kalangan belia.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC Datuk Zurkarnain Mohd Yasin dan Pengetua Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu Suhaibul Kassim.

Program itu menumpukan kepada isu-isu semasa seperti penipuan dalam talian, buli siber, perkongsian maklumat peribadi dan penularan maklumat palsu.

Melalui pendekatan interaktif, para pelajar didedahkan kepada kaedah mengenal pasti risiko siber, memahami taktik manipulasi penipuan, serta menilai kesahihan maklumat sebelum dikongsi.

Penekanan turut diberikan mengenai kepentingan mengamalkan sikap berhemah di media sosial dengan tidak berkongsi maklumat peribadi secara berlebihan bagi mengelak risiko keselamatan dan penyalahgunaan data.

Kempen berkenaan mencerminkan usaha berterusan MCMC dalam memperkasakan masyarakat digital yang celik teknologi, beretika dan sejahtera di ruang siber, dengan kempen kini giat diperluas ke institusi pendidikan di seluruh negeri Sabah.

Setakat Oktober 2025, daripada 4,734 institusi pendidikan yang telah menyertai kempen ini di seluruh negara, sebanyak 434 daripadanya adalah dari negeri Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan