WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANWAR PUJI USAHA ASEAN TARIK INSTITUSI UTAMA UNTUK PASTIKAN KEJAYAAN GRID KUASA ASEAN

16/10/2025 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ockt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha ASEAN menarik penyertaan institusi utama bagi memastikan kejayaan Inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (APGF).

Beliau berkata Grid Kuasa ASEAN (APG) adalah tulang belakang kerjasama serantau yang menghubungkan kemampanan, keselamatan dan kemampuan.

Anwar berkata Malaysia komited sepenuhnya terhadap agenda bersama ini, dan dengan tindakan bersama, rantau ini boleh mengimbangi trilema tenaga dan mengukuhkan pertumbuhan ASEAN untuk beberapa dekad akan datang.

“Cita-cita mesti dipadankan dengan sumber. APG memerlukan pelaburan berterusan dan pembiayaan inovatif.

"ASEAN, di bawah kepengerusian Malaysia, telah menyokong APGF. APGF yang dibangunkan bersama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia akan berfungsi sebagai platform khusus untuk menggerakkan pembiayaan hijau, menyediakan projek yang boleh membawa keuntungan dan mempercepat pelaburan rentas sempadan di darat dan di bawah laut," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian menerusi ucaptama pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43 dan Mesyuarat Berkaitannya serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25, di sini, hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata APGF memastikan visi ASEAN bagi APG yang saling berhubung sepenuhnya menjelang 2045 bukan sahaja dari sudut teknikal tetapi juga berdaya maju dari segi kewangan dan inklusif.

“Penubuhan APG mencerminkan keazaman bersama untuk mengukuhkan hubungan tenaga serantau dan meletakkan ASEAN sebagai model kerjasama yang mampan dan saksama,” kata beliau.

Semalam, ADB, Bank Dunia, dan ASEAN melancarkan inisiatif pembiayaan baharu untuk menyokong usaha bersama APG-ASEAN bagi menghubungkan rangkaian elektrik rantau ini dan mengukuhkan kerjasama tenaga menjelang 2045.

ADB komited untuk menyediakan pembiayaan sehingga US$10 bilion (US$1=RM4.2) bagi APG dalam tempoh 10 tahun akan datang, disokong oleh bantuan teknikal awal US$6 juta yang dibiayai  ADB, United Kingdom, Kesatuan Eropah dan rakan lain.

Sementara itu, Bank Dunia menyediakan sumbangan awal sebanyak US$2.5 bilion di bawah program Accelerating Sustainable Energy Transition Program (ASET) termasuk geran awal sebanyak US$12.7 juta kepada Pusat Tenaga ASEAN (ACE) untuk menyediakan projek yang memberi manfaat dan menentukan fasa sokongan seterusnya terhadap inisiatif APG.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan