KANGAR, 17 Okt (Bernama) -- Seorang wanita warga Thailand hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,735 gram di Padang Besar pada 8 Okt lepas.
Kittiya Chaiyaphuek, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Thai di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada 6.15 petang 8 Okt lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Nurshahida menetapkan 9 Jan 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis Nurul Idayu Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial